JOHOR BARU, 29 Januari:

Kerajaan Negeri Johor akan mengkaji cara bagi menawarkan lebih banyak penerbangan terus dari China ke Johor.

Ia susulan pelaksanaan dasar baru yang membenarkan warga China mengunjungi Malaysia tanpa perlu memohon visa, mulai 1 Mac hingga 31 Disember tahun ini.

Pengecualian visa itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam, ketika membentangkan Penghubahsuaian Bajet 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal pengguna Johor, Datuk Tee Siew Keong berkata, pengumuman itu dibuat tepat pada masanya, di mana kerajaan negeri boleh membincangkan penerbangan terus dari China ke Johor dan sebaliknya dengan pelbagai syarikat penerbangan.

“Kami (kerajaan negeri) mengalu-alukan sebarang syarikat penerbangan serantau yang berminat untuk memulakan penerbangan terus dari China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, hari ini.

Sebelum ini, syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia pernah menawarkan penerbangan terus dari Senai ke Macau, namun ia dihentikan pada 2008.

Kerajaan negeri kemudiannya mengumumkan syarikat penerbangan seperti China Southern Airlines (CSA) yang berpangkalan di Guangzhou, telah menyuarakan hasrat untuk memulakan penerbangan terus dari beberapa wilayah di China ke Senai.

Namun, masih tiada komitmen kukuh berhubung rancangan itu.

Tee berkata, pengumuman Perdana Menteri berhubung pengecualian visa untuk pelancong China sebagai sebahagian daripada Pengubahsuaian Bajet 2016, telah lama ditunggu bagi merangsang industri pelancongan.

“Johor akan memanfaatkan kemasukan tanpa visa ke atas pelancong China ke Malaysia, kerana produk pelancongan Johor terkenal di kalangan mereka.

“Ketika ini, pelancong China berada di tempat ketiga pengunjung paling ramai melawat Johor, selepas pelancong Singapura dan Indonesia,” katanya.

Tee yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk pelancongan di Johor ke China berkata, pengumuman itu boleh dilihat sebagai bonus kepada beberapa syarikat penerbangan untuk memulakan penerbangan terus dari China ke Senai.

Ini kerana, jelasnya, Malaysia akan menyertai Indonesia dan Thailand, tidak lama lagi, yang menawarkan pengecualian visa kepada pelancong China.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau itu juga berharap rakyat Johor yang terbabit dalam industri pelancongan supaya merebut peluang bagi menarik kedatangan pelancong China.

Tourism Malaysia menyasarkan untuk menarik dua juta pelancong China ke Malaysia, tahun ini, memandangkan China adalah pasaran besar dengan 109 juta rakyatnya melancong ke negara lain pada 2014.