KUALA LUMPUR, 25 Januari:

Tabung Haji (TH) meminta orang ramai tidak membuat spekulasi tarikh pengumuman bonus bagi pendepositnya untuk 2015.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat TH dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya berkata, pada kelazimannya, TH akan mengumumkan bonus pendepositnya pada suku pertama (Januari-Mac) tahun semasa.

Kenyataan itu menyebut, TH pernah mengumumkan bonus pendeposit pada hujung Februari dan awal Mac sebelum ini.

Sebuah portal berita hari ini memetik Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang meminta TH memberi penjelasan, sama ada mendapat keuntungan mencukupi pada 2015 untuk membayar dividen kepada kira-kira sembilan juta penabung tahun ini.

Mujahid dilapor sebagai berkata, dividen TH sepatutnya diisytiharkan pada 22 Januari seperti tahun lepas, namun sehingga kini, TH tidak melakukannya.

Kenyataan itu menambah, TH perlu memastikan semua proses audit awal dilaksanakan terlebih dahulu serta mendapat kelulusan dalaman, sebelum mengumumkan dividen atau bonus kepada pendepositnya.

“TH percaya, hasil strategi alokasi asetnya akan dapat membantu pulangan pendapatan, walaupun 2015 dilihat sebagai tahun yang mencabar.

“Konsep simpanan di TH adalah AlWadiah Yad Dhamanah, di mana apa-apa pulangan adalah dalam bentuk Hibah yang tertakluk kepada prestasi kewangan tahun semasa dan budi bicara pengurusan,” katanya.

Konsep itu, katanya, tiada beza dengan konsep AlWadiah yang dilaksanakan institusi perbankan Islam lain.