PETALING JAYA, 18 Januari:

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasar untuk mendaftarkan lebih 20,000 perniagaan sepanjang Op Jejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2016 di seluruh negara, bermula semalam sehingga Jumaat ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, operasi itu bertujuan menjejak peniaga yang layak mendaftar GST, tetapi masih gagal berbuat demikian, selain mengesan peniaga yang tidak mematuhi peraturan GST.

“Operasi ini akan dijalankan secara didikan, lebih kepada pujukan untuk pastikan tidak ada mana-mana pihak wajib daftar GST tidak laksanakan tanggungjawab mereka,” katanya selepas melancarkan operasi itu di Kompleks Kastam Kelana Jaya, semalam.

Beliau berkata, dalam masa sama, JKDM juga akan memastikan peniaga yang sudah berdaftar dengan GST, menjalankan operasi mereka dengan betul, mengikut undang-undang ditetapkan.

Khazali berkata, kompaun RM5,000 akan dikeluarkan kepada peniaga yang didapati tidak mematuhi peraturan berkaitan GST, sepanjang tempoh Op Jejak GST 2016 berlangsung.

“Bagaimanapun, kita tidak akan terima bayaran tunai kompaun di tempat kejadian, kerana peniaga yang dikenakan kompaun perlu buat pembayaran di kaunter pejabat Kastam terdekat,” katanya.

Beliau turut menegaskan, operasi itu akan dijalankan pegawai Kastam beruniform, bagi mengelak sebarang salah laku atau tindakan penyamaran dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Khazali berkata, JKDM menjalankan pemeriksaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, di semua pintu masuk sempadan negara, bagi memastikan tiada sebarang elemen yang mampu mengancam keselamatan dibawa masuk ke negara ini.

“Kita sentiasa buat pemeriksaan ketat, sama ada terdapat ancaman keselamatan atau tidak, tugas perkastaman di pintu masuk melalui jalan darat, laut dan udara akan dijalankan mengikut SOP sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, pihak Kastam juga melakukan perkongsian maklumat berkaitan ancaman keselamatan dengan pelbagai agensi di dalam dan luar negara.