KUALA LUMPUR, 13 Januari:

Kesedaran masyarakat bumiputera, terutamanya orang Melayu masih kurang dalam bidang perniagaan, jika dibandingkan dengan kaum Cina, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Ahmad Maslan.

“Keyakinan masyarakat bumiputera khasnya, agak kurang dari segi perniagaan.

“Kepada masyarakat Cina, ia sudah menjadi budaya kehidupan, tetapi Melayu masih belum jadi budaya perniagaan ini,” katanya selepas melawat kilang Ramly Food Processing Sdn Bhd, hari ini.

Menurut Ahmad, ini merupakan lawatan turun padangnya yang keempat dalam tempoh dua minggu, untuk menyaksikan kejayaan dan pencapaian syarikat bumiputera dalam pengeluaran produk halal.

Jelasnya, lawatan turun padang itu juga bagi mempromosikan syarikat terbabit, selain membuka mata orang Melayu untuk berani menerokai dunia perniagaan.

“Ini antara usaha kita menjayakan agenda bumiputera dan saya gembira hari ini saya dapat melihat satu contoh kejayaan yang begitu baik. Bukan senang untuk mendapat jualan sebanyak RM1 bilion setahun,” katanya.

Dalam usaha membantu bumiputera, Ahmad berkata, pihaknya melalui agensi di bawah Miti telah menyediakan pelbagai bantuan kepada usahawan.

“Peruntukan RM280 juta diberikan Miti melalui agensi-agensinya, HDC, SME Bank dan SME Corp bagi menggalakkan industri halal di Malaysia.

“70 peratus telah digunakan dan lebih 50 peratus daripadanya diberikan kepada usahawan bumiputera,” ujarnya.