KUALA LUMPUR, 31 Disember 2015:

Tahun 2015 ternyata bukanlah tempoh yang menyebelahi ringgit Malaysia apabila ia dijejaskan kelemahan sentimen pelabur serta faktor luaran dan dalaman, termasuk harga komoditi yang rendah serta prestasi ekonomi global yang suram.

Malah, unit tempatan itu turut diasak tempias jangkaan berpanjangan mengenai kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi China yang hanya melemahkan lagi sentimen pelabur terhadap pasaran sedang pesat membangun.

Ketua Penganalisis Pasaran ForexTime (FXTM) Ltd, Jameel Ahmad, berkata andaian yang diketengahkan adalah ringgit menerima tamparan hebat tahun ini dengan faktor luaran menjadi sebahagian besar faktor penyusutannya.

“Biarpun dalam keadaan tertentu pandangan ini ada benarnya, namun kalangan pemerhati perlu maklum bahawa faktor lain seperti kelembapan pertumbuhan ekonomi dan kemungkinan skandal pelaburan kerajaan (merujuk syarikat pelaburan strategik 1MDB atau 1Malaysia Development Bhd) turut memberi tekanan terhadap ringgit,” katanya.

Ringgit memulakan alirannya pada awal tahun ini pada 3.5075/5059 berbanding dolar AS pada 2 Januari lepas, sebelum susut sepanjang tahun ini sehingga mencecah paras melebihi 4.00 berbanding dolar pada pertengahan Ogos lepas.

Berikutan kebimbangan mengenai penyusutan ringgit, kerajaan bertindak memantau semua aktiviti kontrak hadapan yang tidak diserah (NDF) di luar Malaysia termasuk NDF di Singapura, seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar pada 1 Sept lepas.

Di sebalik dakwaan bahawa ringgit muncul mata wang negara sedang pesat membangun Asia yang paling teruk prestasinya tahun ini apabila mencatatkan penyusutan 20 peratus berbanding dolar, kerajaan serta kalangan pakar ekonomi sebaliknya berpendapat bahawa unit itu sebenarnya dinilai lebih rendah sedangkan Malaysia memiliki asas-asas yang kukuh.

Malah, itulah yang turut ditegaskan Abdul Wahid.

“Bagi ringgit, apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan kita berpegang kekal kepada asas-asas selain mengkaji semula pilihan dasar lain yang ada.

“Pada akhirnya, nilai ringgit akan mencerminkan asasnya,” katanya.

Pada 28 Sept lepas, kebimbangan mengenai risiko pengaliran keluar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) secara besar-besaran yang mencetuskan jualan dalam pasaran tukaran asing, menyaksikan unit tempatan itu jatuh ke paras terendah dalam masa 17 tahun pada 4.4160/4240 berbanding dolar AS.

Ia sebelum ini susut kepada 4.4080, iaitu yang terendah sejak Januari 1998 ketika krisis kewangan Asia, didorong jangkaan bahawa pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan kadar faedah dan menjejaskan lagi nilai renminbi China.

Pada keesokannya, ringgit terus susut kepada 4.4540/4590 iaitu prestasi terburuknya bagi tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pada November lepas, menjelaskan biarpun ekonomi berdepan beberapa kejutan ketara, ia masih kekal berdaya tahan sebagaimana dipaparkan kekukuhan prestasi pertumbuhan ekonominya.

Bank pusat itu juga, kata Zeti, tidak akan melaksanakan langkah menambat ringgit atau memperkenalkan mekanisme kawalan modal untuk membendung penyusutan ringgit berbanding dolar AS.

Mengulas kemelut ringgit, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan ia disebabkan faktor luaran dan bukannya akibat kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi.

Pada awal Oktober, ringgit kembali pulih berikutan laporan mengenai lebihan dagangan Malaysia yang tertinggi dalam tempoh sembilan bulan serta peningkatan harga minyak mentah global.

Ringgit turut menerajui mata wang negara sedang pesat membangun Asia, untuk mencatat kenaikan pada akhir November lepas, sejajar peningkatan harga minyak mentah serta laporan bahawa 1MDB bersetuju menjual segmen tenaganya pada harga tunai US$2.3 bilion kepada China General Nuclear Power Corporation.

Unit tempatan itu seterusnya mencatat aliran turun naik menjelang jangkaan bahawa Fed akan menaikkan kadar faedahnya pada pertengahan Disember.

Seperti jangkaan kalangan penganalisis global, pihak Fed menaikkan asas kadar faedah yang pertama dalam tempoh hampir sedekad, berganjak daripada sifar kepada 0.25 peratus.

Ia ternyata memberi kesan positif yang mempengaruhi aliran peningkatan ringgit pada akhir tahun, dengan menutup hari terakhir dagangan 2015 pada 4.2900 berbanding dolar AS jika dibandingkan pada 3.4950/4980 setahun lepas.

Berbanding mata wang asing lain, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0367/0423 daripada 2.6451/6490 pada 31 Dis tahun lepas serta lemah berbanding yen Jepun kepada 3.5637/5698 berbanding 2.9222/9252.

Ringgit turut rendah berbanding pound British kepada 6.3604/3716 bagi tahun ke tahun daripada 5.4424/4485 serta susut berbanding euro kepada 4.6851/6490 daripada 4.2475/2522 sebelum ini.

Bagi prospek masa depan, Jameel berkata perkembangan dalam sentimen ekonomi dan dasar kewangan antara AS dan negara lain, akan terus mempengaruhi ketidaktentuan pasaran.

Menurutnya, pergerakan ringgit akan dipengaruhi oleh sebarang perubahan dalam pasaran komoditi, tahun depan.

“Berikutan prestasi dicatatkan West Texas Intermediate (WTI) iaitu penanda aras bagi harga minyak mentah global, yang jatuh kepada US$35 setong, kita perlu memulihkan serta mengekalkan harga bahan api itu pada paras tinggi untuk meningkatkan semula potensi ringgit.

“Paras yang konsisten dalam pasaran minyak mentah sememangnya menjadi amat penting kerana tidak akan wujud sebarang kelebihan untuk ringgit dalam jangka panjang jika WTI sekali lagi naik ke paras US$40 setong dan kemudiannya susut ke tahap rendah,” katanya.

Sementara itu, Affin Hwang Capital berpendapat, bersandarkan asas ekonomi domestik yang kukuh sebagaimana dipaparkan menerusi lebihan akaun semasa negara dan rizab antarabangsa yang kukuh, ringgit diunjur meningkat secara berperingkat berbanding dolar AS.

“Kita mengunjurkan ringgit diniagakan di bawah RM3.95/dolar AS menjelang akhir 2016 berbanding RM4.32/dolar AS ketika ini,” kata firma penyelidikan itu.

Setakat pertengahan November, rizab antarabangsa BNM berjumlah US$93.9 bilion (RM417.2 bilion) yang mencukupi bagi menampung 8.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri bagi jangka pendek.