KUALA LUMPUR, 19 Oktober:

Proton Holdings Bhd hari ini mengumumkan bahawa terdapat salah faham mengenai ‘top tether’ Program Penilaian Kereta Baru ASEAN (ASEAN NCAP) yang secara tersilap dikeluarkan daripada model Saga ketika ini yang telah menjalani ujian perlanggaran pada 2013.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata, ‘top tether’ dan lebih daripada 10 komponen peningkatan keselamatan telah dipasang untuk ujian ASEAN NCAP pada 2013.

“Peningkatan dan pengukuhan ini secara efektif membolehkan kereta itu mendapat penarafan tiga bintang apabila ia diuji pada tahun berkenaan.

“Top tether bukan keperluan regulatori untuk pengeluar kelengkapan asal memasangnya dalam kereta mereka pada masa kereta itu diuji,” katanya.

Walaupun Proton telah mematuhi peraturan keselamatan dan syarat-syarat lain  yang diperlukan di negara ini, pengeluar kereta nasional itu berkata, ia telah terlepas pandang dalam mengemas kini ASEAN NCAP mengenai penanggalan ‘top tether’ daripada model Saga sekarang.

“Ketika ini, Proton menawarkan pemasangan percuma ‘top tether’ itu sebagai pilihan kepada pemilik Proton Saga.

“Pelanggan dinasihatkan menghubungi Hotline Perkhidmatan Pelanggan 1 800 888398 atau e-mel customercare@proton.com untuk sebarang pertanyaan atau bantuan untuk menetapkan temu janji di cawangan servis terdekat,” katanya.