KUALA TERENGGANU, 24 Mac:

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah membatalkan sebanyak 29,496 syarikat di seluruh negara atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, antara kesalahan yang kerap dilakukan adalah tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, tidak membentangkan akaun untung rugi dan tidak menyerah simpan Penyata Tahunan dalam tempoh satu bulan selepas Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

Selain itu, katanya, mulai 1 April ini SSM akan mengadakan kempen untuk menggalakkan pembatalan syarikat diperbadankan dari tempoh tahun 2010 hingga 2014 yang tidak lagi aktif, yang mana mereka hanya akan dikenakan bayaran sebanyak RM100 sahaja.

“Justeru, kita berharap agar mana-mana syarikat yang tidak lagi aktif menjalankan perniagaan supaya membatalkan syarikat mereka bagi mengelak dikenakan tunggakan kompaun yang lebih banyak pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Mengutamakan Syarikat Patuh di sini, hari ini.

Seramai 63 orang peserta menyertai kempen itu yang bertujuan membina jaringan korporat antara SSM dan jabatan kerajaan, memberi input kepada ketua-ketua jabatan tentang faedah mengutamakan Syarikat Patuh ketika meluluskan projek, tender, lesen, permit atau perolehan kerajaan.

Sementara itu Zahrah berkata 90 peratus daripada 4,745 buah syarikat yang beroperasi di negeri ini patuh kepada semua peraturan yang ditetapkan SSM.

“Secara puratanya, di Terengganu, terdapat kira-kira 30 buah syarikat yang didakwa di mahkamah setiap bulan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Syarikat 1965 dan sepanjang tahun lalu, sebanyak RM370,000 telah dibayar oleh syarikat yang terbukti bersalah,” katanya.

Bagi Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 pula, antara kesalahan utama peniaga ialah gagal memperbaharui Sijil Perakuan Pendaftaran Peniagaan mereka.

“Ini disebabkan kekeliruan mereka kerana ada yang berpendapat sudah boleh berniaga apabila memperoleh lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedangkan ia adalah untuk kelulusan premis perniagaan sahaja.

“Namun, SSM akan memberi nasihat dahulu untuk mereka sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.