SAMBUTAN Hari Wilayah dan perayaan Thaipusam yang meriah dan penuh warna warni baharu sahaja berlalu.

Dalam pada itu, 15 hari lagi termasuk hari ini, Tahun Baru Cina yang kali ini giliran Tahun Kambing pula bakal dirayakan pada Khamis dan Jumaat, 19 hingga 20 Februari, sekaligus membolehkan orang ramai menikmati dua hari lagi cuti umum yang bersambung dua hari cuti rehat hujung minggu dalam bulan ini.

Awal bulan ini, rakyat Malaysia, khususnya warga Wilayah Persekutuan mendapat cuti rehat sebanyak lima hari – iaitu dua hari cuti rehat hujung minggu dan dua hari kelepasan am sempena Hari Wilayah, yang jatuh pada Ahad, 1 Februari, sekaligus secara automatik digantikan ke hari Isnin, serta Thaipusam semalam, Selasa, 3 Februari.

Rakyat Malaysia sebenarnya bertuah kerana dapat menyambut beraneka jenis perayaan dan hari kelepasan am.

Malah, Malaysia dikatakan antara negara yang mempunyai hari kelepasan am atau cuti umum yang terbanyak di dunia – berjumlah lebih kurang 15 hari di peringkat kebangsaan sahaja.

Jika dicampur hari kelepasan am peringkat negeri pula, mungkin ada yang mencecah hingga 20 hari setahun – sekaligus hampir menyamai jumlah hari bekerja dalam sebulan.

Bila menyentuh tentang hari bekerja, di bawah Akta Buruh 1955, sudah termaktub pekerja sektor swasta di negara ini dibenarkan mengambil cuti tahunan minima sebanyak 14 hari, bagi yang berkhidmat dua tahun ke bawah, dan cuti tahunan ini meningkat saban tahun, sejajar dengan jumlah tahun perkhidmatan.

Ada setengah syarikat swasta yang menawarkan cuti tahunan sehingga 28 ke 30 hari setahun, sebagai salah satu manafaat sampingan kepada pekerja yang setia berkhidmat, dan adakalanya sebagai tarikan untuk mengumpan tenaga kerja profesional daripada syarikat saingan.

Bila diterjemahkan dari segi penggajian, ini bermakna ada rakyat negara ini yang bekerja mendapat 12 bulan gaji bagi tempoh bekerja hanya antara 10 hingga 11 bulan setahun.

Apakah agaknya kesan jangka panjang daripada struktur cuti tahunan serta kelepasan am di negara ini kepada produktiviti rakyat, hasil Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK) dan ekonomi negara, secara amnya?

Jumlah cuti yang banyak di Malaysia bila diterjemah dalam bentuk penggajian, dianggarkan pekerja di negara ini dibayar 12 bulan gaji bagi tempoh bekerja yang sebenarnya hanya antara 10 ke 11 bulan setahun. - Foto arkib TRP
Jumlah cuti yang banyak di Malaysia bila diterjemah dalam bentuk penggajian, dianggarkan pekerja di negara ini dibayar 12 bulan gaji bagi tempoh bekerja yang sebenarnya hanya antara 10 ke 11 bulan setahun. – Foto arkib TRP

Berbalik kepada hari kelepasan am, lazimnya apabila ia bertindih dengan hari cuti rehat hujung minggu, maka ia akan digantikan dengan hari kerja yang berikutnya, yang bermakna bertambah panjanglah hari cuti untuk rakyat Malaysia, sebagaimana yang terjadi awal bulan ini, serta akan berlaku lagi dua minggu dari sekarang.

Apabila situasi ini berlaku, warga kota biasanya kelihatan berduyun-duyun meninggalkan bandaraya – samada pulang menziarahi keluarga dan berehat di kampung halaman, ataupun melapangkan masa untuk bercuti bersama keluarga di dalam atau luar Negara.

Percutian sebegini sebenarnya membawa pulangan ekonomi kepada negara, secara langsung mahupun tidak langsung, apabila rakyat keluar berbelanja bersama keluarga.

Ianya akan meningkatkan aktiviti pembangunan pelancongan domestik dan pertumbuhan ekonomi kawasan peranginan tempatan.

Apabila bercuti di dalam negara, kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia yang sedang dialami mungkin tidak memberi kesan mendalam kepada rakyat, tetapi ianya sangat terasa apabila melancong ke luar Negara.

Percutian penulis ke negara jiran di utara Semenanjung baru-baru ini telah memperlihatkan dengan jelas kesan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia terhadap kuasa beli pelancong dari negara ini, berbanding setahun yang lalu, semasa nilai ringgit masih boleh ditukar di bawah RM2.90 berbanding US$1.

Hari ini, US$1 bersamaan RM3.62, suatu kejatuhan yang melebihi 10 peratus dalam satu suku tahunan.

Malahan, kejatuhan kali ini dikatakan yang terburuk semenjak Krisis Kewangan Asia 1997/98, hampir dua dekad yang lalu.

Terkini, segalanya tampak lebih mahal apabila berbelanja di luar negara jika dibandingkan berbelanja di kotaraya Kuala Lumpur sendiri.

Sebagai kayu pengukur, dengan nilai tukaran wang asing yang rendah, penulis terpaksa berbelanja RM61.30 bagi menjamu selera makan malam untuk dua orang, dengan hanya juadah seperti tomyam ayam, telur dadar, nasi putih, nasi goreng, teh tarik dan jus tembikai.

Juadah yang sama dianggarkan bernilai kurang daripada RM20 di Malaysia, sekalipun jika dinikmati di kawasan kos sara hidup tinggi seperti Bangsar atau Damansara.

Telah banyak yang dilaporkan berkaitan pemangkin kejatuhan nilai matawang ringgit sejak suku terakhir tahun lepas – termasuk kebangkitan ekonomi Amerika Syarikat dan kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia akibat permintaan pasaran yang lembap.

Tidak kurang juga ada yang mengaitkan aktiviti spekulasi dalam pasaran dagangan matawang dunia oleh individu atau negara asing tertentu yang mempunyai agenda mereka tersendiri, didakwa memainkan peranan besar dalam melemahkan nilai ringgit.

Sejauh manakah nilai ringgit akan jatuh tahun ini? Apakah langkah-langkah campurtangan yang akan diambil oleh kerajaan bagi menstabilkan nilai ringgit dalam masa terdekat ini? Atau akan dibiarkan sahaja ia ditentukan oleh pasaran terbuka?

Mungkinkah sudah tiba masanya untuk Malaysia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada nilai matawang US$ sebagai sandaran tukaran asingnya?

Mungkinkah juga sudah tiba masanya kerajaan memandang serius saranan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar dinar emas digunakan sebagai rizab Negara?

Mungkinkah sudah tepat pada masanya untuk Malaysia sebagai pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), yang akan menerajui penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun ini, mencadangkan penggunaan satu matawang bagi kegunaan seluruh blok ASEAN seperti mana Euro digunakan di negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Jika dipersetujui, bagaimana pula kaedah untuk mengukuhkan nilai matawang ASEAN tersebut berbanding matawang Dolar Amerika Syarikat, Euro EU dan Pound Sterling United Kingdom? Wallahualam.

Penulis adalah wartawan bebas yang pernah bertugas di Meja Korporat/Perniagaan/Ekonomi media tempatan serta serantau sejak tahun 2000, dan sebelum itu, berkecimpung dalam industri kewangan. Tulisan di atas adalah pendapat, pandangan dan hasil kaji selidik penulis.