JOHOR BARU, 24 Februari:

Seorang wanita dipercayai terlibat dalam penipuan penjualan lampin bayi murah ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Jawa, Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan susulan laporan orang awam yang menjadi mangsa penipuannya pada 16 Januari lepas.

Beliau berkata, penahanan itu dipercayai dapat menyelesaikan 16 kes penipuan melibatkan suspek terbabit menjual lampin bayi murah di laman sosial Facebook.

“Modus operandi suspek ialah mengiklankan barangan bayi, seperti lampin bayi pada harga murah menerusi akaun Facebook ‘Dhia Alesya Sofea’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pengguna maya yang berminat membeli, akan memasukkan sejumlah wang ke nombor akaun yang diberikan, sebelum suspek memberi pelbagai alasan dan gagal dihubungi.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, berikutan aduan yang dilakukan, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, bagi mengesan dan menangkap suspek.

Beliau meminta orang awam yang pernah menjadi mangsa dan belum membuat laporan polis, supaya tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Wan Ahmad Najmuddin menambah, pihaknya akan memohon reman ke atas suspek hari ini dan orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati serta membuat semakan, sebelum berurusan dalam talian.