KUALA LUMPUR, 24 Februari:

Gempa bumi lemah bermagnitud 2.7 pada skala Richter dikesan di Tasik Kenyir, Terengganu, semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, gegaran boleh dirasai di Kuala Berang.

Pusat gempa bumi itu terletak di 5 darjah Utara dan 102.9 darjah Timur, iaitu 16 kilometer barat daya dari Kuala Berang.

Menurut kenyataan itu lagi, tiada ancaman tsunami dikeluarkan, susulan gempa yang berlaku pada jam 9.25 malam Selasa itu.

Namun, agensi itu sedang memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan sebarang maklumat terkini.

Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar.