KUALA LUMPUR, 24 Februari:

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menafikan khabar angin kononnya pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH149 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Melbourne, Australia malam tadi telah hilang daripada imbasan radar dan tidak dapat dikesan.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 10.07 malam Selasa, selamat mendarat di Melbourne pada jam 8.21 pagi waktu tempatan (5.21 pagi waktu Malaysia).

“Ia merupakan satu laporan palsu yang tidak bertanggungjawab dan boleh mencetuskan keresahan kepada awam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas maklumat di laman sosial mengenai pesawat MH149 yang hilang daripada radar.