KUALA LUMPUR, 23 Februari:

Pembentangan Laporan Akhir Pengauditan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Ketua Audit Negara yang dijadualkan esok dan lusa telah ditangguhkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin berkata, penangguhan itu dibuat, kerana kebanyakan ahli PAC berada di luar negara, termasuk mereka yang menunaikan umrah dan mempunyai komitmen penting.

“Adalah penting untuk semua ahli PAC hadir, bagi mendengar pembentangan laporan akhir pengauditan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tarikh baru bagi pembentangan laporan tersebut dijangka pada minggu pertama Mac.

Dalam laporan sebelum ini, PAC telah menegaskan ia kini memberi keutamaan untuk mendengar pembentangan Ketua Audit Negara berhubung Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dan menyiapkan Laporan PAC untuk dibentangkan di Parlimen secara telus dan adil.

PAC telah mendengar keterangan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Bakke Mohd Salleh dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, pada 11 Februari lepas.