SIBU, 23 Februari:

Polis mengesahkan objek dijumpai di tempat letak kereta sebuah pusat hiburan di Sibu, malam tadi, yang disangkakan bom adalah mercun dibungkus dalam plastik lutsinar.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi bagaimanapun berkata, polis sedang menyiasat secara terperinci bagi menentukan kandungan sebenar objek di dalam plastik itu.

Ditanya sama ada ia mempunyai kaitan dengan unsur jenayah atau gangsterisme, katanya, polis turut menyiasat aspek itu.

“Semasa polis sampai, objek itu sudah diletakkan di atas rumput di hadapan sebuah pusat karaoke di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, objek itu dijumpai pemilik pusat hiburan terbabit di bawah keretanya kira-kira jam 11 malam yang kemudiannya memindahkannya ke tempat lain.

Mohd Kamal berkata, anggota Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dihantar ke tempat kejadian untuk memeriksa dan memusnahkan objek yang disangka bom itu.

Sepasukan anggota bomba turut dipanggil ke lokasi, bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Ketika kejadian, masyarakat Cina di bandar berkenaan sedang rancak meraikan Chap Goh Meh dengan bunyi letupan mercun serta bunga api kedengaran dan kelihatan di hampir semua kawasan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar berkata, hasil pemeriksaan Unit Pemusnah Bom dan forensik polis mendapati, objek itu ialah batang paip berisi serbuk mercun yang menyerupai peranti letupan (IED) tanpa peledak.

“Bukan bom, ia dipercayai serbuk mercun dalam paip dan objek dibuat oleh suspek supaya menyerupai bom. Mungkin sebagai ugutan kepada mangsa,” katanya.

Menurutnya, bungkusan plastik itu kecil sahaja, iaitu berukuran 13cm x 4cm.

Katanya, siasatan berhubung perkara itu masih diteruskan.