PUTRAJAYA, 23 Februari:

Malaysia memiliki rizab mineral yang signifikan dan berpotensi diusahahasilkan dengan anggaran nilai RM235 bilion.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah pengeluaran mineral negara pada 2014 ialah RM7.39 bilion, meningkat 6.81 peratus berbanding RM6.92 bilion pada 2013, berikutan peningkatan pengeluaran dan kenaikan harga komoditi mineral di pasaran global.

“Mineral di negara ini amat bernilai,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementeriannya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab kementeriannya dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk memastikan industri mineral negara sentiasa terpelihara.

Jelasnya, beberapa perundangan dan peraturan turut digubal dan dikemas kini, antaranya penggubalan 3 Pelan Induk di bawah Dasar Mineral Negara 2 (DMN2), penyediaan beberapa peraturan di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 dan semakan semula Akta Penyiasatan Kajibumi 1974.

Sementara itu, Wan Junadi berkata, Malaysia berharap Indonesia dapat mempercepatkan proses menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Malaysia dan Indonesia bagi menangani masalah jerebu merentas sempadan yang sudah lama tertangguh.

“Kami masih menunggu maklum balas Indonesia untuk menandatangani MoU tersebut. Memandangkan terma-terma dalam MoU dipersetujui dan diputuskan pada 22 Julai lalu, maka tiada benda lain lagi yang perlu dilihat dari sudut MoU itu sendiri,” katanya.