ALOR SETAR, 22 Februari:

Sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Dr Mahathir dikekalkan dan mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, hari ini.

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam tidak menghadiri majlis tersebut.

Exco yang kekal dan mendahului senarai mengangkat sumpah itu adalah Adun Guar Cempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman; Adun Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob; Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Adun Kuala Nerang, Datuk Badrul Hisham Hashim.

Turut mengangkat sumpah ialah Adun Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid; Adun Belantik, Datuk Mohd Tajudin Abdullah; Adun Bandar Baru, Datuk Noorsabrina Mohd Noor; Adun Jitra, Datuk Aminuddin Omar dan Adun Gurun, Datuk Dr Leong Yong Kong.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang turut hadir pada majlis itu, akan mengumumkan portfolio barisan Exconya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya, di Wisma Darulaman, sebaik selesai majlis angkat sumpah itu.

Majlis angkat sumpah yang berlangsung kira-kira jam 10 pagi itu, turut dihadiri Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim dan Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Alhmarhum Sultan Badlishah.

Sebelum ini, Ku Abdul Rahman adalah Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Suraya (Exco Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan, KebajikanMasyarakat), Tajul Urus (Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan).

Badrul Hisham (Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Badan-Badan Bukan Kerajaan), Mohd Rawi (Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya), Mohd Tajudin (Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan).

Noorsabrina pula ialah bekas Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Maklumat, Aminuddin (Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan) serta Dr Leong (Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India, Kesihatan dan Perpaduan).

Pelantikan barisan Exco itu mengakhiri krisis politik Kedah sejak 20 Januari lalu, apabila majoriti Adun dan Ahli Parlimen Umno Kedah serta beberapa pemimpin kanan Umno negeri menyuarakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz.

Mukhriz kemudiannya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, pada 3 Februari lalu, setelah hilang sokongan majoriti Adun Kedah yang digantikan Ahmad Bashah, sehariĀ  selepas itu.