KUCHING, 22 Februari:

Sebanyak 15 sekolah di beberapa daerah di Sarawak ditutup hari ini akibat banjir.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebaik sahaja banjir surut, kerosakan yang dialami sekolah terbabit akan dinilai dan kerja membaiki kerosakan itu akan dilakukan dengan kadar segera.

Mahdzir berkata demikian ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) St. David Bumbok, kira-kira 17 kilometer dari Kuching,  hari ini.

Daerah Kuching, Serian, Samarahan dan Bau dilanda banjir yang menyebabkan sejumlah 7,965 daripada 2,051 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Sementara itu, Mahdzir berkata, sebanyak 100 sekolah di seluruh Sarawak yang masih mengggunakan set generator akan disambung kepada grid Sarawak Energy (SEB), bagi mendapatkan bekalan elektrik 24 jam.

Mengenai perjumpaan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, hari ini, beliau berkata, beberapa perkara berkaitan soal pendidikan dibincangkan, termasuk penggunaan bahasa Inggeris di sekolah.