ALOR SETAR, 22 Februari:

Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengekalkan sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di bawah pentadbiran yang lalu merupakan satu langkah bijak, bagi memastikan kelangsungan kemajuan negeri.

Pengerusi Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, keputusan untuk mengekalkan barisan Exco sedia ada merupakan satu tindakan bijak Ahmad Bashah, kerana kepakaran dan kefahaman mereka dalam bidang masing-masing.

“Apa yang penting, segala mandat dan Akujanji yang dibuat pada PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) dapat ditunaikan demi kepentingan rakyat,” katanya selepas majlis angkat sumpah exco di Istana Anak Bukit, hari ini.

Tajul Urus berkata, walaupun portfolio sebagai Exco Perumahan digugurkan dan
digantikan portfolio baru, iaitu Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), dia akan terus menjalankan tugas dengan penuh berdedikasi dan tanpa berbelah bahagi.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid pula menyifatkan barisan exco yang dikekalkan adalah individu berpengalaman dan masing-masing bekerja keras di bawah kepimpinan bekas Menteri Besar lalu dan tidak ada masalah untuk menggerakkan momentum kerja pada penggal ini di bawah kepimpinan Ahmad Bashah.

“Kita ada tempoh dua tahun sebelum pilihan raya umum, kemungkinan akan cadang kepada Kerajaan Negeri untuk melihat ruang bagi rakyat merasai nikmat secara langsung, contohnya isu pemilikan tanah di kawasan seperti Langkawi, Sik dan Pendang, serta berkaitan penjaja dan peniaga kecil,” katanya.

Mohd Rawi turut berharap akan ada tambahan peruntukan kepada semua portfolio yang akan diagihkan kepada semua Exco.

Datuk Norsabrina Mohd Noor yang memegang portfolio sama sebagai Pengerusi Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi serta Sumber Tenaga Manusia, yakin barisan exco yang dilantik semula ini dapat meneruskan segala perancangan yang dibuat sebelum ini demi kelangsungan negeri.

“Saya yakin barisan exco yang dilantik ini adalah yang terbaik. Kami akan memberikan komitmen dan sokongan kepada kepimpinan baharu dalam memastikan segala perancangan dan agenda negeri dapat dilaksanakan.

“Tahun ini merupakan tahun pelaksanaan perancangan negeri jadi kami akan bekerjasama dan isu wujudnya jurang persefahaman tidak berlaku, kerana kami sudah meletakkan isu-isu sebelum di tepi dan telah kembali bersatu untuk memperkukuhkan negeri,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Suraya Yaacob berkata, kepercayaan Ahmad Bashah tidak akan disia-siakan, bagi meneruskan agenda untuk rakyat yang belum tercapai sebelum ini.

Suraya berkata, beliau akan meneruskan usaha yang dibuat selama ini dan berharap segala rancangan yang dilaksanakan dapat diterima baik oleh rakyat.

“Kita sudah melalui fasa yang menguji dan menjadi cabaran bukan sahaja kepada kepimpinan negeri, tetapi juga rakyat. Saya amat berharap mereka bersabar untuk melihat segala yang dirancangkan dapat dilaksanakan,” katanya.

Katanya, beliau tidak melihat masalah yang akan timbul di sebalik pengekalan barisan Exco sedia ada dan berharap kesemuanya akan dapat bersama-sama melaksanakan janji dan perancangan yang dibuat sebelum ini.

Hari ini sembilan anggota Exco di bawah pentadbiran Mukhriz dikekalkan dan mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.