KUALA LUMPUR, 21 Februari:

Spekulasi siapa pengganti Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz masih hangat diperkatakan apabila beliau dijangka menamatkan perkhidmatannya pada April ini.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (bekas peneraju Maybank); Duta Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin (bekas Penolong Gabenor Bank Negara) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Awang Selamat dalam kolumnya di Mingguan Malaysia berkata selain tokoh-tokoh berkenaan, tiga timbalan Zeti di Bank Negara turut dalam senarai pilihan.

Menurut Awang, keputusan pengganti tersebut bakal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melantik siapa sahaja yang difikirkan sesuai dan dilihat terbaik dalam menangani cabaran sekarang.

“Suatu ketika dulu, pelantikan Zeti juga dibuat oleh kerajaan sehingga beliau menerajui bank pusat itu selama 16 tahun.

“Awang percaya sesiapa pun yang dilantik akan mempunyai iltizam untuk menjadikan Bank Negara terus kukuh dan berdaya tahan dalam memastikan kestabilan ekonomi. Ia akan dipandu oleh lembaga pengarah dan dibantu oleh tiga Timbalan Gabenor serta lapan penolong Gabenor di samping para pegawai kanan yang komited,” katanya.

Kata Awang, perubahan jawatan Gabenor Bank Negara tidak dilihat akan menjejaskan apa-apa.

Ini kerana banyak perkembangan positif kepada ekonomi negara antaranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus bagi suku keempat 2015.

“Ia mengatasi ramalan banyak penganalisis termasuk oleh Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Pencapaian itu juga antara yang terbaik di rantau ASEAN.

“Selain itu, lebihan eksport negara, paras rizab mata wang asing yang baik, hutang luar negara yang terkawal serta situasi pasaran domestik dan antarabangsa yang memberangsangkan, juga petunjuk yang sihat.

“Zeti telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang, kini tiba pula giliran tokoh lain. Hakikatnya, tiada siapa yang indispensable,” katanya.