KUALA LUMPUR, 18 Februari:

Khuatir status sosial akan dipandang rendah oleh masyarakat menjadi faktor utama pekerja tempatan enggan bekerja di sektor 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar.

Sektor itu kini dimonopoli pekerja asing di negara ini kerana pendapatan yang diperoleh pekerja sektor ini juga dikatakan kecil.

Namun Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berpendapat jumlah gaji bukan faktor utama rakyat negara ini tidak mahu bekerja di sektor pembinaan, perladangan, pertanian dan pembuatan.

“Punca utama rakyat terutama golongan belia tidak berminat bekerja di sektor 3D adalah disebabkan mentaliti masyarakat dan persepsi yang menganggap ia bukan pekerjaan yang dihormati kerana tidak mempunyai status.

“Sebenarnya gaji di sektor perladangan dan pertanian agak lumayan, contohnya pendapatan seorang pengait kelapa sawit adalah RM2,500 sebulan dan pekerja mahir menyusun batu bata adalah RM100 sehari,” katanya.

Shamsuddin berkata ia berbeza dengan pekerjaan seperti pegawai kerajaan kerana walaupun bergaji rendah, mereka lebih dipandang tinggi dan dihormati berbanding bekerja di projek pembinaan atau ladang yang kotor.

Beliau berkata 85 hingga 90 peratus daripada 400,000 tenaga kerja di sektor pembinaan terdiri daripada warga asing, manakala di sektor perladangan dan pertanian, 80 peratus daripada 700,000 pekerja adalah warga asing.

“Cuba lihat restoran mamak, tiada seorang pun pekerja tempatan di situ. Kalau adapun hanya di restoran makanan segera,” katanya.

Shamsuddin berkata bagi menangani masalah itu, majikan perlu melabur dan beralih daripada cara konvensional kepada penggunaan teknologi baru serta peralatan moden yang mampu mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan ianya menjimatkan kos.

“Terdapat majikan yang tidak mahu melabur atas alasan pekerja tidak mahir untuk mengendalikan peralatan moden tetapi sebenarnya pekerja boleh dilatih bagi meningkatkan kemahiran dan memperoleh sijil yang diiktiraf.

“Kerajaan dan majikan perlu duduk berbincang mencari jalan penyelesaian untuk menarik pekerja tempatan dan menjadikan mereka bangga dan megah dengan pekerjaan mereka,” katanya.

Sijil kemahiran yang diiktiraf juga penting kerana boleh digunakan untuk bekerja di luar negara dan ianya akan menjadikan pekerja tempatan lebih berdaya saing.