KUALA LUMPUR, 17 Februari:

Datuk Seri Najib Razak mempunyai tahap ketenangan dan kesabaran ‘luar biasa’, walaupun ketika berdepan cabaran getir sepanjang karier politiknya selama 40 tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam tempoh 30 tahun mengenali Perdana Menteri, termasuk sebagai setiausaha politiknya, rakan dalam parti dan lebih sebagai adik-beradik, beliau telah banyak melihat sendiri sifat sabar luar biasa Najib dalam menangani tekanan.

“Antaranya pada 1987, iaitu ketika baru 17 hari saya menjadi setiausaha politik beliau, apabila tiga exco Pemuda Umno ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, kerana ingin mengadakan perhimpunan, berikutan ada masalah dengan pemimpin MCA.

“Nama beliau (Najib) maybe (mungkin) termasuk dalam senarai individu yang bakal ditahan.

“Saya melihat sendiri beliau tenang menjawab soalan ketika disoal pihak polis. Ia menampakkan kesabaran seorang bakal pemimpin besar,” katanya ketika berucap melancarkan buku ‘Najib Razak 40 Years 40 Pictures’ di Stesen KL Sentral, hari ini.

Kerjaya politik Najib bermula, selepas kematian mengejut ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 14 Januari 1976, apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan yang disandang Allahyarham ketika berusia 22 tahun.

Ahmad Zahid turut berkongsi cerita bagaimana Najib tetap bersabar dan tenang, walaupun berdepan situasi cemas dan membabitkan keselamatan dirinya, apabila pernah jatuh tersungkur di dalam kereta, ketika pemandunya menekan brek secara tiba-tiba, kerana mengelak sekumpulan kambing ketika dalam perjalanan ke Pahang.

“Pada masa itu, beliau (Najib) terlelap di dalam kereta. Tindakan pemandu yang brek kereta secara mengejut, menyebabkan beliau tersungkur…saya jangka dia nak marah, tetapi sebaliknya beliau hanya bertanya berapa kelajuan kereta.

“Pemandunya jawab kelajuan kereta dalam 200km/j, saya nampak telinganya dah merah dan jangka dia akan pecat pemandu itu, tetapi beliau (Najib) sebaliknya secara sinis berkata, pemandunya memandu umpama pesawat Cessna nak berlepas, sebelum melelapkan semula matanya,” kata Ahmad Zahid yang turut berada dalam kenderaan itu.

Ahmad Zahid turut menyifatkan Najib sebagai seorang yang amat prihatin, kerana masih mengingati kesemua bekas Ketua Pemuda Umno bahagian dan mengambil berat kebajikan setiap seorang daripada mereka sehingga kini.

Mengulas buku berkenaan, Ahmad Zahid berkata, kompilasi gambar dan artikel dalam buku itu amat sesuai untuk dijadikan rujukan bagi mengenali Perdana Menteri dengan lebih dekat.

Buku mewah terbitan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) itu sempena sambutan ulang tahun ke-40 kerjaya politik Najib, memaparkan 40 gambar eksklusif Najib yang sesetengahnya belum pernah disiarkan kepada umum.

Koleksi gambar berkenaan mengabadikan detik-detik signifikan dalam kerjaya politik Najib bermula tarikh penting 21 Februari 1976, apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan bagi menggantikan bapanya, sehingga hari ini.

Buku setebal 112 halaman itu juga mengandungi artikel ringkas dan gambar menarik, termasuk detik Najib menjadi Menteri Besar Pahang, Timbalan Menteri serta Menteri dalam pelbagai portfolio, termasuk Menteri Pertahanan.

Tidak terkecuali koleksi gambar Perdana Menteri bersama keluarga, khususnya memori indah bersama Allahyarham Tun Razak, termasuk dalam beberapa paparan menarik yang memperlihatkan persamaan ketara wajah serta gaya mereka berdua.

Naskhah berharga RM140 itu turut merakam teras kepimpinan Najib yang berorientasikan kepentingan rakyat, iaitu gambar beliau menyelami denyut nadi masyarakat.

Selain buku tersebut, turut diadakan pameran gambar terpilih Perdana Menteri di KL Sentral yang bermula hari ini sehingga 21 Februari ini, manakala di Universiti Malaysia Pahang mulai 21 Februari hingga 25 Februari ini.