GEORGE TOWN, 17 Februari:

Sepakan lencong luar biasa pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri ketika menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super malam tadi, mungkin membawa lebih banyak tuah kepada beliau dan pasukannya.

Dalam satu sidang media khas hari ini, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengumumkan untuk melelong jersi lengkap dengan stoking serta kasut bola dipakai Mohd Faiz pada perlawanan menentang Pahang itu, dengan membuka tawaran bidaan RM100,000 di laman sosial, untuk mengumpul dana bagi pembangunan bola sepak remaja Pulau Pinang.

Mohd Faiz sendiri tidak menyangka video aksinya membuat sepakan percuma yang membolosi gawang lawan itu, menjadi viral sehingga mendapat perhatian dunia.

Mengulas sepakan percuma yang kini menjadi perhatian dunia pada sidang akhbar itu, pemain berusia 28 tahun itu menyifatkan gol hasil sepakan percuma yang cukup cantik itu sebagai satu rezeki.

Portal berita The Independent di United Kingdom melaporkan, aksi Mohd Faiz itu membolehkan beliau berpeluang memenangi Anugerah FIFA Puskas 2016 sebagai jaringan gol tercantik tahun ini.

Mohd Faiz berkata, beliau melakukan sekurang-kurangnya 10 kali sepakan percuma setiap kali mengadakan latihan rutin.

Jelasnya, setiap kali latihan, beliau pernah melakukan sepakan seumpama itu.

“Semasa latihan (sepakan percuma) itu, kadang-kala menjadi, kadang-kala tidak jadi….malam tadi menjadi,” katanya.

Turut hadir pada sidang media khas itu ialah Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir dan ketua jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F. Tiago.

“Saya memang sasarkan dalam gol. Dalam pasukan Pulau Pinang, bukan saya seorang sahaja boleh ambil sepakan percuma, ramai lagi yang berbakat…mungkin orang lain pula akan jadi macam saya,” kata Mohd Faiz.

Beliau yang menyertai pasukan Harimau Kumbang tahun lepas, menyasarkan untuk menjaringkan lebih banyak gol tahun ini, berbanding 13 gol yang disumbangkan sepanjang tahun lepas, dengan empat daripadanya hasil sepakan percuma.

Ditanya mengenai sepakan percuma itu yang menyamai gol jaringan pemain Brazil, Roberto Carlos, Mohd Faiz berkata, masih jauh untuk membandingkannya dengan pemain legenda dunia itu.

Mengenai kemungkinan gol itu akan memenangi Anugerah FIFA Puskas 2016, Mohd Faiz berkata: “Kalau ada…Alhamdulillah”.

Antara yang pernah memenangi Anugerah FIFA Puskas ialah Zlatan Ibrahmovic (2013), Neymar (2011) dan Cristiano Ronaldo (2009).