SUNGKAI, 16 Februari:

Seekor harimau jantan yang cedera di kaki, akibat terkena perangkap khinzir di Ladang Eden Batu 10, Jalan Pahang, Tapah, Ahad lalu, kini dalam keadaan stabil.

Pengarah Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Rozidan Md Yasin berkata, akibat kecederaan itu, harimau yang diberi gelaran ‘Yeop Tapah’ itu mengalami bengkak di kaki, namun tidak mengundang risiko kecacatan.

“Kami akan melakukan pemerhatian ke atas harimau itu selama 14 hari,” katanya selepas melawat harimau itu di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), hari ini.

Rozidan berkata, ‘Yeop Tapah’ berkemungkinan besar terus ditempatkan di pusat berkenaan, memandangkan haiwan yang terkena jerat agak berbahaya kepada orang awam, apabila dilepaskan ke habitat asal.

Harimau seberat kira-kira 170 kilogram itu dibebaskan semalam, setelah terperangkap dalam jerat dawai yang dipasang seorang penduduk Orang Asli untuk menangkap khinzir.

Mengulas lanjut insiden itu, Rozidan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap penduduk Orang Asli yang memasang jerat, sehingga menyebabkan harimau tersebut terperangkap dan cedera.

Katanya, soal siasat telah dilaksanakan dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 29 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Saya melihat faktor yang mengancam populasi hidupan liar adalah jerat. Apabila seseorang itu memasang jerat dan dia tinggalkan, mungkin haiwan itu mati tanpa dia sedar, di situ akan berlaku kezaliman.

“Oleh itu, saya nasihatkan masyarakat jangan memasang jerat, kerana ia memberi kesan kepada hidupan liar yang mati dalam keadaan sengsara,” katanya.

Rozidan berkata, sejak 2012 hingga tahun lepas, Perhilitan memusnahkan 126 jerat, hasil daripada 56 operasi dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, hasil kajian menunjukkan, ketika ini, saiz populasi harimau di negeri ini kira-kira 450 ekor.