KUALA LUMPUR, 16 Februari:

Rakyat harus menerima realiti bahawa masyarakat tempatan, khususnya golongan belia tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D, iaitu bahaya, kotor dan sukar.

Ini kerana, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dalam beberapa bidang pekerjaan, seperti pembinaan, perladangan dan perkilangan, gaji yang ditawarkan agak rendah dan bebanan kerja yang berat.

“Saya percaya industri sedemikian juga tidak mampu menawarkan gaji yang tinggi, justeru, kita tiada pilihan, selain terpaksa mengambil pekerja asing,” katanya selepas merasmikan aplikasi ‘fitness in my pocket’, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Ahad lalu, yang mencabar belia tempatan mengambil alih tempat pekerja asing dalam sektor 3D.

Khairy berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu menjelaskan realiti mengenai bidang yang tidak diminati rakyat tempatan dan memerlukan pengambilan pekerja asing untuk bekerja di bidang itu.

Baru-baru ini, kerajaan dilaporkan merancang untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Sementara itu, mengenai aplikasi baru yang dilancarkan hari ini, ia dibangunkan eSolved MSC Sdn Bhd yang membolehkan pengguna telefon pintar melatih dan membuat senaman sendiri dengan mudah.