KUALA LUMPUR, 16 Februari:

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh tidak pernah menyatakan dana syarikat pelaburan strategik negara itu telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata, fakta itu konsisten dengan pengesahan berulang kali kepada umum yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

“Sebagai Pengerusi PAC, saya mengambil maklum dan kesal dengan maklumat salah disiarkan media dan laman sosial yang telah membuat dakwaan palsu, berhubung apa yang dikatakan ketika sesi pendengaran Mohd Bakke pada 11 Februari lalu di hadapan PAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, PAC adalah Jawatankuasa Parlimen bi-partisan yang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen berpengalaman daripada pihak kerajaan serta pembangkang dan sedang menyiasat isu 1MDB secara profesional dan telus.

Katanya, siasatan itu dilakukan berdasarkan bukti berdokumen, temu bual saksi dan hasil daripada pengauditan Jabatan Audit Negara.

Beliau berkata, kesimpulan PAC mengenai siasatan itu akan menjadi satu rekod awam.

“Oleh itu, kami menyeru semua pihak menghentikan spekulasi yang tidak perlu dan menunggu laporan rasmi PAC yang akan dibentangkan kepada Parlimen pada Mac 2016,” katanya.

Semalam, Mohd Bakke menafikan dakwaan kononnya pernah menyebut wang RM2.6 bilion itu adalah daripada 1MDB, sebagaimana disebarkan melalui laman sosial.