KUALA LUMPUR, 15 Februari:

Empat remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah ragut, dengan menyasarkan pelancong asing di sekitar ibu kota, ditahan Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata, mereka ditahan susulan laporan seorang wanita warga Korea Selatan yang beg tangannya cuba diragut dua lelaki bermotosikal di Jalan Raja Chulan, pada jam 6.30 petang hari sama.

Katanya, dalam kejadian itu, dua lelaki berkenaan gagal meragut beg mangsa, setelah terjatuh bersama mangsa, sebelum bertindak melarikan diri, apabila kejadian itu disedari orang ramai.

Polis kemudiannya menahan dua remaja lelaki yang mencurigakan di Jalan Nagasari, pada jam 7.20 malam dan mendapati mereka adalah rakan dua suspek yang cuba meragut beg warga Korea itu.

Zainol berkata, hasil pemeriksaan mendapati, dua lelaki yang ditahan itu ada menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada dua suspek untuk mengambil mereka, kerana tidak mempunyai kenderaan untuk pulang, selepas meninggalkan motosikal di lokasi kejadian.

“Susulan itu, polis menahan dua suspek itu di Jalan Bukit Bintang. Mangsa ragut warga Korea berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan pada lengan kiri dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media hari ini.

Zainol berkata, hasil pemeriksaan ke atas empat remaja itu mendapati, tiga daripada mereka adalah pelajar kolej, manakala seorang lagi penganggur.

“Tiga daripada mereka juga positif dadah dan mereka dipercayai telah aktif menjalankan jenayah ragut sejak setahun lepas,” katanya.

Zainol berkata, polis turut merampas pelbagai wang kertas negara asing, seperti Arab, Indonesia dan Korea yang bernilai RM1,000, dipercayai hasil daripada kegiatan ragut menyasarkan pelancong asing di sekitar KLCC, seperti di Jalan Raja Chulan, Jalan P. Ramlee dan Jalan Pinang.

Katanya, tangkapan itu berjaya menyelesaikan beberapa kes ragut di daerah Dang Wangi dan Brickfields, namun polis masih mengesan dua lagi rakan suspek yang turut menjalankan kegiatan itu.

Semua suspek direman sejak 9 Februari lalu sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, iaitu samun berkumpulan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.