ALOR SETAR, 15 Februari:

Polis akan menjalankan siasatan secara telus, berhubung kes seorang guru agama yang mendakwa dipukul, ditumbuk dan digari dua anggota polis di Balai Polis Gurun, pada Selasa lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung aduan itu serta sedang menunggu laporan perubatan daripada Hospital Sultanah Bahiyah, berhubung kecederaan pengadu, sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Insiden itu menyebabkan kepala Mohd Na’im Zakaria, 29, berdarah, selain lebam di tangan akibat digari.

“Polis memandang serius dakwaan yang dibuat pengadu dan akan menyiasat secara telus dan terperinci mengikut undang-undang sedia ada, tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Kita telah mengambil tindakan segera, dengan menyiasat aduan pengadu, selain menjalankan siasatan mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terhadap anggota polis yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengadu juga katanya, telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, pada 12 Februari lalu, untuk menjalankan proses kawad cam bagi mengenal pasti anggota polis terlibat, namun beliau tidak hadir dan dimaklumkan akan menjalankan kawad cam pada Rabu ini.

Beliau berkata, kejadian kam 9.45 malam Selasa lepas berlaku, ketika pengadu yang menunggang motosikal berkuasa tinggi melalui sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Gurun, sebelum ditahan polis yang memintanya menunjukkan lesen memandu dan cukai jalan.

“Semasa pemeriksaan, berlaku perselisihan faham yang berpunca daripada pertanyaan anggota polis bertugas di sekatan jalan raya itu, berkaitan kuasa kuda (cc) motosikal yang ditunggang pengadu.

“Anggota polis itu mendapati, terdapat kesalahan pada nombor pendaftaran motosikal pengadu dan saman telah dikeluarkan, namun pengadu tidak mahu menandatanganinya serta melakukan provokasi,” katanya.

Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Undang-undang Kesalahan Kecil 1955.