BENTONG, 14 Februari:

Kementerian Pengangkutan menetapkan hanya lori jenis paka sahaja yang akan dibenar untuk mengangkut bauksit selepas tempoh moratorium perlombongan bahan mineral itu berakhir April ini.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perkara itu merupakan antara perkara yang terkandung dalam garis panduan pengangkutan bauksit yang  ditetapkan pihak kementerian dalam usaha mengelak masalah pencemaran daripada berulang.

“Kita telah ada garis panduan yang jelas kepada pemandu lori yang mana hanya lori jenis paka sahaja yang dibenarkan untuk mengangkut bauksit.

“Ini kerana lori jenis itu dapat mengangkut bauksit tanpa terjatuh di atas jalan raya seperti lori yang biasa digunakan sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Batu 1, Jalan Tras di sini.

Selain itu, katanya semua lori berkenaan hanya dibenarkan melalui laluan tertentu untuk mengangkut bahan mineral itu ke stor penyimpanan yang akan ditentukan.

“Kita juga telah menetapkan Pelabuhan Kuantan bukan lagi kawasan stor penyimpanan bauksit. Kita tidak mahu pelabuhan itu menjadi kawasan yang bersepah dengan bauksit tanpa kawalan.

“Pelabuhan Kuantan juga kita telah minta mereka mengehadkan jumlah bauksit yang disimpan di kawasan pelabuhan. Contohnya kalau ia hanya boleh tampung 1.5 juta tan metrik, mereka hanya boleh terima setakat itu sahaja,” kata Liow.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Bentong berkata langkah itu adalah bagi memastikan pelabuhan serta jalan di sekitarnya tidak tercemar dengan bauksit seperti yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata garis panduan dan kawalan yang lebih jelas akan diedarkan kepada pihak yang terlibat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Ismail Ahmad setelah ia diperhalusi dan diperkemaskan dengan agensi yang berkenaan.

“Kita di peringkat kementerian sudah menyediakan garis panduan pengangkutan bauksit yang jelas yang akan diberi kepada pengusaha lombong bauksit.

“Ia bagaimanapun perlu dibincangkan dalam sekretariat bersama agensi dan jabatan lain yang berkepentingan yang diketuai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar,” kata Liow.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit selama tiga bulan bermula 15 Januari lalu.