KUALA LUMPUR, 10 Februari:

Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kini sedang menjalankan siasatan ke atas dakwaan salah seorang penumpangnya semalam.

Menurut sumber, pihak MAS maklum berkenaan dakwaan oleh seorang juruhebah DJ wanita yang menyatakan salah seorang pegawai syarikat penerbangan tersebut bertindak secara tidak profesional.

“Kita maklum mengenai perkara itu, sekarang kita sedang jalankan siasatan, sebab apa yang kita dapat sekarang adalah cerita dari sebelah pihak.

“Jadi kita sekarang nak dapatkan cerita dari pihak satu lagi,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Semalam, viral di media sosial Facebook, DJ Leng Yein memuat naik status tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan seorang pegawai MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Leng Yein mendakwa pegawai berkenaan gagal bertindak profesional kepada penumpang semasa melakukan semakan tiket penerbangan.

Perkara berkenaan mendapat perhatian ramai dan jumlah komen status berkenaan hari ini sudah mencecah 1,800 komen dan 12,900 like dari pengguna Facebook.

Rata-rata pengguna mengharapkan pihak MAS dapat menyelesaikan masalah berkenaan dengan cara yang sewajarnya.