KUALA LUMPUR, 10 Februari:

Cuti panjang sempena Tahun Baru Cina, memberi kesempatan kepada sesetengah warga kota mengisi masa cuti dengan meneroka ‘lubuk makanan’ yang terdapat di sekitar ibu negara.

Keadaan jalan di ibu kota yang agak lengang berbanding hari-hari biasa, memudahkan pergerakan ke lokasi tumpuan.

Rozila Abd Wahab, 39, yang menetap di Pantai Dalam, Bangsar menjadikan cuti umum panjang sebagai masa ‘bercuti’ daripada memasak kerana beliau dan keluarganya akan keluar mencari makanan yang sedap dan harga berpatutan.

“Setiap kali cuti panjang, saya memang tak masak…kami lebih suka luangkan masa bersama dengan meneroka makanan yang terdapat di sini, kadang-kadang kami sanggup ke Kuala Selangor semata-mata untuk makan.

“Lalu lintas di Kuala Lumpur pada cuti umum ini pun agak lengang, jadi ia memberi sedikit kelegaan buat kami, pergerakan dan segala perancangan menjadi lancar,” katanya kepada Bernama.

Nadi syurga makanan seperti Kampung Baru masih lagi menjadi pilihan utama orang ramai apabila berada di sini.

Konsultan di syarikat swasta Shahrul Nizam Sabri, 36 yang datang dari Pulau Pinang berkata kunjungannya bersama keluarga ke ibu kota tidak lengkap tanpa mencuba makanan di Kampung Baru.

“Menikmati makanan di Kampung Baru ini sudah menjadi kemestian buat saya dan keluarga, kami datang Kuala Lumpur pun memang menyasar mencari “port” makanan yang sedap dekat sini,” katanya.

Bagi golongan muda pula, mereka lebih gemar berkunjung dan menikmati makanan di kafe-kafe hipster yang menyediakan makanan berasaskan pastri dan hidangan manisan.

Pencinta kek ‘buatan sendiri’ yang hanya mahu dikenali Izyan Hanim Razak, 23, memilih kafe-kafe tempatan kerana mempunyai dekorasi yang santai selain terpengaruh dengan gambar-gambar hidangan yang dikongsi di laman sosial seperti Instagram.

“Kafe menyajikan hidangan manisan yang sedap dengan harga berpatutan menjadi pilihan saya dan teman-teman untuk bersantai di kala cuti umum panjang. Dekorasi dalaman kafe yang santai dan cantik adalah bonus tambahan, kerana kami semua suka muat naik dalam laman sosial masing-masing,” katanya.

Bagi Huda Zazuki, 26, minatnya mencuba kopi dan manisan tempatan tercetus sejak berkahwin dan cuti umum panjang ini menjadi masa terbaik untuk beliau dan suami bersantai di sekitar Kuala Lumpur.

“Kebiasaannya saya dan suami mencari kafe di sekitar Petaling Jaya atau Damansara,” katanya.

Bagi jurutera di sebuah syarikat pengeluar minyak dan gas, Mohd Shahir Sofian, 25, beliau lebih gemar mencari kedai makan yang menyajikan makanan barat seperti stik.

“Saya sanggup berbelanja besar semata-mata untuk makan dan saya tak kisah berapa pun harganya…janji sedap. Saya boleh memilih sendiri kuantiti dan kualiti daging bergantung pada harga pasaran.

“Masa cuti umum inilah masa terbaik untuk pergi makan bersama-sama keluarga,” katanya.