KUALA LUMPUR, 10 Februari:

Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya hari ini bagi membincangkan senarai barisan exco negeri itu yang baru.

Beliau yang baru dilantik sebagai Menteri Besar Kedah Khamis lalu berkata, secara konvensyen di Kedah, setiap kali wujud pertukaran Menteri Besar, rombakan terhadap exco-exco kerajaan negeri juga turut dilakukan.

“Segala-galanya bergantung kepada hasil perbincangan saya dengan Perdana Menteri nanti. Boleh jadi saya kekalkan barisan exco yang sedia ada dan ada kemungkinan juga satu dua muka baru akan muncul.

“Secara konvensyennya di Kedah, setiap kali adanya perubahan ke atas jawatan MB, Yang Dipertua Dewan akan menasihati agar anggota-anggota exco turut mengangkat sumpah taat setia.

“Jadi ini bermakna secara langsungnya mereka akan mengangkat sumpah sebagai barisan exco yang baru,” katanya seperti dilapor MStar.

Ahmad Bashah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baru selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan jawatan selepas kehilangan sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri.

Adun Bakar Bata ketika menghadiri jamuan Tahun Baru Cina di Alor Setar pada Selasa memaklumkan beliau sudah mempunyai senarai exco dan akan mengumumkan pada minggu hadapan selepas mendapat perkenan Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

“Senarai sudah ada. Mungkin minggu depan diumumkan dan untuk majlis angkat sumpah kerana ia memerlukan perkenan daripada Tuanku Sultan dan Ahli Jemaah,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.