KUALA LUMPUR, 10 Februari:

Dewan Ulama Pas menyifatkan tindakan Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berpakaian menyerupai dewa Cao Guo Jiu satu insiden yang mendukacitakan.

Timbalan Ketuanya, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata semua ahli Pas perlu lebih berhemah dalam tindakan-tindakan yang berkaitan dengan agama kerana mampu mengundang permasalahan dan fitnah.

“Merujuk kepada kes yang melibatkan saudara Khairuddin Othman yang memakai pakaian keagamaan berbentuk dewa yang disembah oleh masyarakat beragama Buddha dan kemudiannya mencetus pertikaian dikalangan awam ummat Islam adalah merupakan satu insiden yang mendukacitakan.

“Oleh itu Dewan Ulama Pas mengharapkan kepada semua ahli-ahli Pas lebih berhemah dalam apa jua tingkah laku yang membabitkan keagamaan agar ianya tidak menimbulkan permasalahan dan fitnah kepada semua agama yang wujud dalam negara kita tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairuddin dalam sambutan majlis sambutan Tahun Baru Cina di Wangsa Permai, Paya Jaras baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila gambar beliau berpakaian menyerupai dewa Cau Gua Jiu menjadi viral di media sosial.

Setiausaha Pas Selangor itu kemudiannya memohon maaf selepas mendapat kritikkan pelbagai pihak dengan tindakannya itu.

Dewan Ulama Pas bagaimapaun merasakan tindakan Khairuddin itu tidak mempunyai sebarang niat untuk mempersendakan mana-mana agama dan ianya lebih kepada salah faham.

“Namun Dewan Ulama Pas pusat merasakan ianya berlaku bukanlah dengan tujuan melanggar batasan agama jauh sekali memperkecil serta mempersenda syariat Islam.

“Sebaliknya apa yang berlaku hanyalah kerana salah faham dan tidak mengamati kedudukan yang menyerupai bentuk amalan agama lain,” kata Nik Zawawi.