KUALA LUMPUR, 8 Februari:

Ketika warga kota mengambil kesempatan daripada cuti panjang bersempena Tahun Baru Cina untuk balik kampung, ibu negara hari ini dibanjiri pelancong dan pekerja asing.

Bernama melaporkan para pelancong kelihatan sibuk merakamkan gambar dan membeli-belah di tempat-tempat yang menjadi tarikan seperti Pasar Seni, Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan Jalan Petaling.

Seorang pelancong dari Australia, Elia Murray, 27, yang sedang dalam lawatan ke negara-negara Asia bersama-sama rakannya berkata, dia terpesona dengan seni bina bangunan-bangunan bersejarah di negara ini.

“Sebelum ini, saya hanya melihat bangunan Sultan Abdul Samad melalui gambar dalam Internet tetapi hari ini saya berpeluang melihatnya dengan mata saya sendiri. Ia sungguh hebat!”, katanya yang juga tertarik untuk menghayati keindahan bangunan Menara Berkembar Petronas, yang menjadi mercu tanda Malaysia.

warga asing 2
Orang ramai mengambil kesempatan untuk beriadah bersama keluarga di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada cuti perayaan Tahun Baru Cina hari ini. – Foto Bernama

Sementara Murray berminat terhadap seni dan seni bina, rakannya, Marria Wilson, 27, pula teruja untuk menikmati pelbagai makanan Malaysia.

“Abang saya yang mengunjungi negara ini sebelumnya, memberitahu saya makanan Malaysia seperti nasi lemak dan roti canai sungguh sedap sekali tetapi pada yang sama mengingatkan saya mengenai kepedasan sambal dan kari,” katanya.

Wilson berkata, mereka akan memanfaatkan sepenuhnya percutian selama tiga hari di Malaysia dan merancang untuk melawat tempat menarik seperti Taman Burung Kuala Lumpur dan Brickfields.

“Kami tidak kisah mengenai cuaca panas selagi kamui dapat menikmati setiap detik berada di sini,” katanya.

warga asing
Pekerja asing mengambil kesempatan untuk berkumpul dengan rakan senegara mereka semasa cuti umum Tahun Baru Cina di Jalan Tun Tan Siew Sin atau lebih dikenali sebagai Jalan Silang hari ini. – Foto Bernama

Sementara itu, kawasan seperti Jalan Silang, Jalan Pudu, Jalan Tun H.S Lee dibanjiri pekerja asing daripada Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Indonesia.

Seorang pekerja warga Indonesia, Jumadi Zulkarnain, 21, berkata biasanya sukar untuk dirinya bertemu dengan rakan-rakan senegaranya kerana komitmen kerja.

“Rakan-rakan saya semuanya kerja di berlainan tempat … pada cuti perayaan begini kami akan berkumpul beramai-ramai di sini,” kata Jumadi yang bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran.

warga asing 3
Orang ramai mengambil kesempatan untuk beriadah bersama keluarga serta sahabat handai di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina hari ini. – Foto Bernama

Pekerja warga Bangladesh, Shamem Mancha, 30, turut memanfaatkan cuti umum ini untuk bertemu dengan rakan-rakannya.

“Cuma hari cuti umum kami dapat berseronok dan bersiar-siar dengan kawan begini. Sangat seronok,” katanya.