BAGAN DATOH, 7 Februari:

Tindakan Tan Sri Rafidah Aziz yang menyerang kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu politik Kedah ibarat ‘terpercik ke muka’ bekas pemimpin Wanita UMNO itu sendiri.

Utusan Malaysia melaporkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai orang lama dalam parti dan pernah berada dalam kepemimpinan kerajaan, Rafidah tidak sepatutnya membuat tuduhan terhadap parti sendiri.

“Dalam hal ini saya suka dengan pandangan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang berkata, apabila seseorang itu tidak lagi berada dalam arus ke­pimpinan kerajaan dan parti, maka kita tidak seharusnya berbeza pendapat.

“Dengan membalingkan kritikan terhadap Perdana Menteri, maka akhirnya ‘ibarat menepuk air di dulang terpencik ke muka sendiri’.

“Biarlah… zaman beliau sudah berlalu. Rafidah harus sedar kekuatan beliau ketika memegang tampok pemerintahan parti adalah disebabkan sokongan pemimpin di bawah dan pertengahan parti,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Jubli Intan 64 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di Sungai Sumun, dekat sini pada Sabtu.

Rafidah ketika mengulas kemelut politik Kedah yang menyaksikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir terpaksa berundur daripada kedudukannya selaku Menteri Besar, antara lain menuduh Perdana Menteri sebagai dalang kepada krisis tersebut.

Menurut Ahmad Zahid, sebagai bekas pemimpin parti, orang lama seperti Rafidah harus memberi sokongan kepada mereka yang kini berada di peringkat teras parti.

Beliau berkata, biarpun berbeza pendapat tetapi sesuatu pandangan harus disampaikan dengan penuh kebijaksanaan.

“Memberikan pandangan bukan dengan cara menempelak parti yang akhirnya tempelak itu tertampar ke muka beliau sendiri,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan kemungkinan ada lagi Menteri Besar yang akan berundur selepas Mukhriz, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mendengar sebarang perubahan yang bakal berlaku di peringkat pentadbiran kerajaan negeri.

“Tidak… saya tak dengar khabar itu, saya tak dengar khabar angin yang bertiup,” katanya.

Sementara itu, Rafidah memberitahu Mingguan Malaysia, ketaatan kepada parti dan bukannya kepada individu merupakan prinsip yang perlu menjadi amalan ahli UMNO dalam menjadikan parti terbesar orang Melayu itu terus kuat.

Beliau berkata, pendirian beliau dalam parti keramat itu adalah demi perjuangan UMNO, bukan kerana individu tertentu di dalam parti.

“Saya taat pada parti dan negara bukan individu, itu saya. Saya hidup dan mati dalam UMNO. Sudah 50 tahun jadi ahli,” katanya.