SUNGAI BULOH, 7 Februari:

Setiap kali menjelang musim perayaan, pasti kedengaran rungutan orang ramai terhadap harga barangan yang meningkat.

Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini turut tidak terkecuali menerima tempias kenaikan harga barang berikutan kejatuhan mata wang negara.

Tinjauan The Rakyat Post mendapati kebanyakan pengguna mengeluh mengenai harga barangan melonjak naik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagi Leng Ket Harn, 34, berkata ekoran keadaan ekonomi yang dilihat tenat, beliau sekeluarga terpaksa membuat perancangan yang teliti dalam melakukan persiapan bagi mengelakkan berlakunya lebihan apabila berbelanja.

“Tahun ini kami sekeluarga terpaksa merancang perbelanjaan kerana kebanyakkan harga barangan sudah naik terutama makanan. Mesti mahu jimat tahun ini.

“Selalunya tahun-tahun lalu kami banyak membeli makanan seperti biskut dan kacang untuk meraikan tetamu pada hari raya, tapi tahun ini kami terpaksa membeli apa yang perlu sahaja,” katanya.

Walaupun tradisi masyarakat Cina sinonim dengan kehadiran Pokok Limau, Bunga Kekwa dan ‘Lucky Bamboo’ pada setiap kali Tahun Baru Cina, tetapi bagi Tan Lay Chien, 43, beliau memilih untuk berbelanja secara sederhana sahaja.

“Barang banyak naik tahun ini, jadi kami tidak mahu berbelanja sesuka hati. Rumah saya pun tidak ada pokok limau tahun ini, cukuplah dengan ‘ong’ bunga kekwa kuning.

“Tahun ini tahun monyet jadi saya harap keadaan ekonomi dan kestabilan politik akan menjadi pulih dan lebih aktif seperti monyet,” jelasnya sambil berseloroh.

Seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Andy Lim, 35, mengakui bahawa beliau kecewa dengan tawaran barangan dipasaran yang dianggap kurang pilihan dan tiada kepelbagaian seperti tahun-tahun terdahulu.

“Tahun lalu saya sekeluarga selalu makan makanan laut pada Tahun Baru Cina, tetapi tahun ini harga makanan laut naik sekali ganda. Tak mampu nak berbelanja lebih dengan nilai mata wang sekarang.

“Kalau tengok dari segi pilihan pula, tahun ini saya sedikit kecewa kerana apabila pergi ke pasar tidak ada banyak pilihan makanan yang boleh dibeli. Mungkin peniaga tidak banyak ambil stok, saya pun tidak tahu lah,” katanya yang juga seorang pekerja swasta.