KUALA LUMPUR, 7 Februari:

“Apa yang kita lakukan hari ini mempunyai kesan dan implikasi yang besar pada hari esok.”

Itu kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan perutusan Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tionghua menjelang Isnin ini.

Wan Azizah berkata rakyat sedar keadaan negara yang diselubungi pelbagai masalah, skandal dan persepsi negatif akibat salah laku urus tadbir serta pimpinan yang hilang kompas moral walaupun setiap minggu isu baru disajikan melalui media online atau media arus perdana.

Katanya, pimpinan negara dilihat tidak mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan malah memecat mereka yang berani menyuarakan pendapat yang berbeza.

“Sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun politik, terlalu jelas bahawa apa yang dilakukan Putrajaya pada hari ini belum cukup untuk menjamin masa depan yang lebih cerah untuk masa depan anak cucu kita.

“Jika kamu mahu kemakmuran setahun, tanamlah bijirin. Jika kamu mahu kemakmuran sepuluh tahun, tanamlah pokok. Jika kamu mahu kemakmuran seratus tahun, bangunkanlah insan. Memang ada kebenaran di sebalik kata-kata ini,” katanya yang memetik ungkapan pepatah Tionghua.

Menurutnya, sebagai contoh, pendidikan tidak patut dipolitikkan malah harus diperbetulkan.

Ini kerana komitmen yang jitu diperlukan untuk memastikan rancangan pendidikan negara dilaksana sepenuhnya setelah dipertimbang dan diteliti para cendekiawan serta pakar pendidik.

“Namun kita lihat dasar-dasar pendidikan Putrajaya yang begitu berkecamuk, malah kebebasan akademik turut terjejas hingga pensyarah seperti Azmi Sharom dihadapkan ke mahkamah hanya kerana berani bersuara.

“Rancangan atau dasar tidak patut dilaksana atau dihenti dengan begitu sahaja. Ini hanya akan menimbulkan huru-hara dan syak wasangka di kalangan ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak mereka,” katanya lagi.

Wan Azizah turut menjelaskan sepatutnya negara mewujudkan simpanan lebihan hasil jualan minyak dengan mengambil pendekatan ‘The Government Pension Fund’ di Norway, yang boleh diguna untuk melabur demi menjamin masa depan negara.

Ujarnya, tatkala nilai harga minyak jatuh teramat jauh dari sasaran kerajaan, Putrajaya terpaksa berkeras meneruskan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST).

“Malah subsidi untuk banyak perkara seperti elektrik, beras dan sebagainya pun sudah ditarik balik. Ini tidak patut berlaku, lebih-lebih lagi di kala keadaan ekonomi yang tidak begitu baik ini,” katanya.