ALOR SETAR, 6 Februari:

Menteri Besar Kedah yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau mahu rakyat dan pengundi khususnya di kawasan diwakilinya iaitu Bakar Bata terus mengekalkan hubungan kemesraan dengan dirinya seperti sebelum ini.

Bernama melaporkan Ahmad Bashah berkata jawatan tersebut bukanlah satu penghalang untuk memisahkan rakyat dengan dirinya, malah jelasnya beliau masih sama seperti dahulu.

“Saya tak mahu bila dah jadi Menteri Besar ini mereka segan nak jumpa dan salam. Saya tak mahu pengundi ada perasaan itu kerana saya tahu keikhlasan sokongan dan kasih sayang mereka terhadap saya.

“Tapi saya nak elak protokol yang jauhkan rakyat dengan saya. Saya akan beritahu pegawai-pegawai, saya Bashah yang dulu sama dengan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Jiran Perdana dan Menyemai Kasih Sayang di sini hari ini.

Berhubung senarai Exco kerajaan negeri yang baharu, Ahmad Bashah berkata, beliau ada memaklumkan perkara itu secara tidak rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata perbincangan rasmi mengenai perkara itu hanya boleh dibuat selepas cuti Tahun Baharu Cina.

“Memandangkan Setiausaha Kerajaan Negeri pun bercuti sehingga habis cuti Tahun Baharu Cina ini, saya pun belum dapat bincang apa lagi dengan beliau. Lepas itu (cuti) baru kami boleh bincang mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata selepas senarai Exco dimuktamadkan, ia akan dipersembahkan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk diperkenankan.