ALOR SETAR, 6 Februari:

Menteri Besar Kedah yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bertekad Barisan Nasional (BN) negeri mampu memenangi dua pertiga kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Bernama melaporkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai sekiranya semua jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO negeri bersama-sama bekerja keras sebelum PRU14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada akhir Ogos 2018.

“Nak dapatkan (menangi) kerusi, kami (wakil rakyat) kena turun, jumpa rakyat bagi penerangan dan kerja keras bukan duduk sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Jiran Perdana dan Menyemai Kasih Sayang di sini hari ini.

Ketika ini 21 kerusi Dewan Undangan Negeri dipegang BN, PAS (lapan), PKR (empat), DAP (dua) dan Parti Amanah Negara (satu).