PUTRAJAYA, 6 Februari:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis pernikahan anak perempuan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan di kediaman beliau di Presint 10 di sini hari ini.

Bernama melaporkan Perdana Menteri dan isteri yang tiba pada kira-kira pukul 10.55 pagi berada kira-kira sejam di majlis tersebut.

Najib dan Rosmah turut bergambar bersama pasangan pengantin Nurul Izzatul Shahirah Ahmad, 22, dan Ahmad Haqimi Iskandar Ariffin Iskandar, 22, serta keluarga kedua-dua mempelai.

Sebelum itu, pasangan pengantin dinikahkan oleh Ahmad sendiri di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Abdul Manaf Mat.

Pasangan pengantin berkenaan dijadualkan berlepas ke Australia pada 15 Feb melanjutkan pelajaran di Curtin University.

Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan isteri, Datin Seri Kay Roserina Mohd Kassim serta isteri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datin Norazlina Awang Had.

Sebelum meninggalkan majlis, perdana menteri dan isteri bersalaman serta beramah mesra dengan tetamu yang hadir.

Kira-kira 300 tetamu hadir pada majlis tersebut dan majlis persandingan akan diadakan Selasa depan.