KUALA LUMPUR, 5 Februari:

Hiasan tanglung merah di bandaraya ini dan lagu ‘Gong Xi Fa Cai’ berkumandang di radio menandakan sambutan Tahun Baharu Cina sudah semakin hampir.

Masyarakat Cina menyambut tahun Monyet Api pada 8 Februari ini, namun bagi warga kota bahang sambutan terasa sejak awal Januari.

Kedai-kedai mula menjual kelengkapan sambutan tahun baharu di pusat membeli-belah. Kelengkapan bewarna merah kelihatan di mana-mana sahaja.

Limau mandarin, cip kentang ‘arrowhead’ dan kuih bakul menjadi pilihan wajib bagi masyarakat Cina semasa sambutan Tahun Baharu Cina juga sudah mula dijual.

Masyarakat majmuk Malaysia sudah biasa dengan sambutan masyarakat Tiong Hua ini dan amalan mereka.

SAMBUTAN BERMULA DENGAN MEMBERSIHKAN RUMAH

Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCGAH) Tang Ah Chai berkongsi  beberapa amalan masyarakat itu.

Masyarakat Cina memulakan persiapan dengan membersihkan rumah mereka.

Membersihkan rumah ini adalah satu aktiviti simbolik menghalau nasib malang atau musibah yang menimpa pada tahun lalu.

“Masyarakat Cina percaya bahawa dengan menukar perabot serta memakai baju baharu pada tahun baharu, ia dapat mendatangkan tuah di tahun baru,” katanya.

MERAH BAWA TUAH

“Selain itu, mereka juga menghias rumah dengan kain merah, hiasan tanglung serta kertas merah yang tertulis kaligrafi pepatah Cina bagi melambangkan ‘Ong’ (tuah),” kata Tang.

Pada malam sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, anggota keluarga dari perantauan akan pulang ke kampung untuk acara makan besar keluarga ataupun dikenali sebagai ‘Tuan Yuan Fan’.

Selepas makan besar, katanya, kebiasaannya mereka akan berjaga hingga keesokkannya dengan amalan ini dikenali sebagai ‘Shou Shui’ iaitu ‘menanti usia baharu’. Semasa berjaga itu mereka melakukan aktiviti keluarga.

Tang berkata bagi yang beragama Tao, mereka akan melakukan sembahyang pada malam sebelum tahun baru bagi mengundang “Dewa Kekayaan” kerana hari itu merupakan ulang tahun kelahiran dewa itu.

“Penggunaan penyapu dan pengaut habuk dielakkan bermula malam sebelum Tahun Baru dan hari pertama agar tuah tahun baharu tidak disapu keluar,” katanya akan satu lagi amalan simbolik masyarakat itu.

UNDANG DEWA DEWI

Tang berkata hari pertama tahun baharu adalah hari bagi mengundang dewa-dewi dari kayangan ke bumi. Pada hari itu juga masyarakat Cina, terutamanya penganut agama Buddha, hanya akan memakan sayur-sayuran kerana percaya ini akan membantu melanjutkan usia mereka.

“Masyarakat Cina digalakkan memakai pakaian baharu berwarna merah yang melambangkan ‘Ong’ dan mengadakan rumah terbuka bagi mengeratkan hubungan antara keluarga, sahabat dan jiran.

“Pada hari itu juga, kanak-kanak dan dewasa yang masih belum kahwin diberi ‘angpau’ iaitu sampul merah yang diisi sejumlah wang yang membawa maksud ‘kesejahteraan yang berpanjangan’,” katanya.

Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menghalau puaka dan musibah dari rumah.

Antara adat resam lain yang diamalkan, termasuklah pemberian limau Mandarin yang bunyi nama buah itu dalam bahasa Mandarin sama dengan ‘emas’ yang bermakna pemberian limau seolah-olah menghadiahkan emas kepada orang lain.

SAMBUTAN BERTERUSAN 15 HARI

“Kuih bakul juga menjadi kemestian kerana ia melambangkan kemajuan dalam hidup sama ada dengan menerima kenaikan pangkat, pendapatan bertambah dan sebagainya.

“Apabila berjumpa dengan rakan-rakan dan saudara mara, mereka perlu mengucapkan ungkapan yang membawa maksud baik misalnya “Gong Xi Fa Chai” yang membawa maksud – ‘Tahniah, anda sudah kaya’ , panjang umur, sihat selalu dan apa saja ungkapan yang membawa maksud yang baik,” katanya.

Tang berkata masyarakat Cina merayakan tahun baharu selama 15 hari dengan hari terakhir yang dikenali sebagai ‘Chap Goh Meh’, menandakan masyarakat Cina akan kembali ke rutin harian masing-masing.

“Bergantung kepada amalan setempat, pada hari itu juga ia dikenali sebagai ‘Perayaan Tanglung’ dengan anggota masyarakat Cina melepaskan Tanglung Kesejahteraan ke langit bagi mendoakan kesejahteraan keluarga.

“‘Chap Goh Meh’ turut dikenali sebagai ‘Chinese Valentine’s Day’ (Hari Kekasih) yang mana anggota masyarakat Cina yang belum berkahwin mengadakan upacara melempar limau Mandarin ke tasik ataupun sungai dengan menulis nombor telefon bagi mendapatkan jodoh,” katanya.

Bagi masyarakat Malaysia, tahun 2016, tahun monyet pasti membawa berkat dan kemakmuran bagi semua. Selamat Tahun Baru Cina.