KUALA LUMPUR, 5 Februari:

Polis memburu seorang lelaki disyaki anggota kumpulan samun warga Pakistan bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai polis dan menyamun pelancong asing di sekitar ibu kota  baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata suspek berusia lingkungan 35 hingga 40 tahun itu dipercayai menganggotai kumpulan samun menjadikan pelancong asing sebagai mangsa dan menggunakan kereta sewa sebagai modus operandi.

“Tiga anggota kumpulan itu merupakan warga Pakistan berusia lingkungan umur sama diberkas polis menerusi dua tangkapan berasingan pada 26 Januari lalu dan 1 Februari lalu dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Gaya Hidup Sihat anjuran Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di Esplanade KLCC, di sini.

Zainol berkata suspek pertama ditahan pada 26 Januari lepas di kawasan letak kereta di Bandar Baru Ampang hasil laporan polis dibuat seorang mangsa lelaki warga Arab Saudi yang didakwa menjadi mangsa samun di Bukit Bintang akhir November lepas.

“Ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki berhampiran pusat beli-belah Pavilion di sini sebelum didatangi dan ditahan suspek yang memandu kereta Proton Persona.

Suspek yang menyamar sebagai anggota polis kemudian menunjukkan kad kuasa polis untuk menggertak mangsa agar menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit, namun mangsa ragu-ragu akan tindakan suspek lalu mengambil kunci kereta suspek,” katanya.

Zainol berkata soal siasat dijalankan ke atas suspek pertama berjaya membawa kepada penahanan dua lagi anggota kumpulan itu ketika operasi sekatan jalan raya di sekitar Chow Kit, Isnin lepas.

“Kesemua suspek memiliki pasport palsu Turki dan masuk ke negara ini sebagai pelancong asing manakala siasatan polis mendapati seorang daripada suspek tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya sambil menambah polis berjaya menyelesaikan kira-kira 20 kes samun dilakukan suspek sejak November lepas.

Katanya polis turut merampas dua kereta Perodua Alza, tiga telefon bimbit dan 89 unit mata wang asing.

Mengenai Program Gaya Sihat, Zainol berkata kira-kira 200 anggota dan pegawai dari IPD Dang Wangi menyertai program itu bagi menyahut cabaran program ‘Trim and Fit 2016’ yang dilancarkan bulan lepas bagi memastikan kesemua warga polis cergas dan sihat ketika menjalankan tugasan harian.