KULIM, 5 Februari 2016:

Berang dengan tindakan dua perompak yang berhajat merompak kedai milik keluarganya, anak pekedai serbaneka bertindak melibas putus pergelangan tangan kiri salah seorang perompak kedainya itu.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 7.45 malam tadi di Kilang Lama itu disahkan Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Abdullah Arshad, lapor Astro Awani.

Menurut Abdullah, kedua-dua suspek bersenjatakan parang panjang dan pisau meluru masuk ke dalam kedai dengan memakai topi keledar dan menutup muka.

Suspek yang memegang parang panjang kemudian bertindak meluru ke arah ibu pekedai berusia 50-an yang berada di kaunter lalu menarik rambut sambil mengugut supaya menyerahkan wang manakala seorang lagi suspek mengacukan pisau ke arah anak pemilik kedai tersebut.

Ekoran daripada itu, berlaku pergelutan antara anak pekedai berusia 20-an dan perompak terbabit yang mana menyebabkan salah seorang dari suspek kehilangan pergelangan tangan kiri.

Kedua-dua suspek yang panik bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal tanpa sempat mengambil tangan yang putus itu.

Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap beberapa jam kemudian ketika cuba mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.

Menurut Abdullah, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara hingga 20 tahun dan sebatan.