KUALA LUMPUR, 5 Februari:

Polis akan mengambil tindakan terhadap penulis blog Papagomo kerana melakukan `hukuman’ sendiri.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemilik nama sebenar Wan Azri Wan Deris kerana didakwa menyerang warga asing yang dikatakan mengganggu secara seksual rakan dan adik perempuannya, seperti yang dilaporkan The Star Online.

Baru-baru ini video viral menggambarkan Wan Azri menendang dan menampar seorang lelaki yang dipercayai warga Pakistan menjadi tajuk utama apabila penulis blog itu menyiarkan rakaman video terbabit di laman Facebook peribadinya bagi mendapat simpati dan sokongan daripada pengguna media sosial.

Beliau dilapor menyatakan bahawa tindakan beliau itu adalah atas dasar rasa tanggungjawab.

Nor Rashid dilaporkan berkata, tindakan seharusnya dikenakan terhadap Wan Azri yang melanggar undang-undang dan `memandang rendah’ kuasa polis.

“Saya belum melihatnya (video). Tetapi, samada warga asing atau penduduk tempatan, kita semua ada undang-undang. Jika kita pukul seseorang, mendatangkan bahaya kepada orang lain, kamu berbuat salah dan akan diambil tindakan.

“Kita tidak boleh sesuka hati memukul orang lain. Mereka perlu mengikut undang-undang. Mereka perlu diberi pengajaran,” beliau dipetik sebagai berkata.