KUALA LUMPUR, 5 Februari 2016:

Senario politik yang membabitkan pertukaran Menteri Besar di Terengganu dan Selangor sebelum ini adalah berbeza berbanding kemelut di negeri Kedah membabitkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kata penganalisis politik.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Dr Maszlee Malik berkata, kedua-dua menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agak merendah diri selepas pertukaran itu.

“Kes ini berbeza berbanding apa yang berlaku ke atas Mukhriz. Beliau mempunyai kelebihan sebagai anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mukhriz tidak dianggap sebagai pejuang ketika memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda, namun imej ayahnya Tun M, yang dibawanya memberi banyak kelebihan dalam karier politik beliau.

“Kelebihan ini tiada pada kedua-dua bekas menteri besar Selangir dan Terengganu,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Menurut laporan itu, Dr Maszlee yakin selepas pertukaran menteri besar dari Umno, tiada siapa yang berani untuk mengkritik apa sahaja isu membabitkan Presiden Umno yang juga Perdana Mentri, Datuk Seri Najib Razak.

“Persoalan sama ada Ahmad Bashah mampu menandingi Mukhriz bukanlah keutamaan Umno sekarang. Pengguguran Mukhriz adalah merupakan satu peringatan kepada semua pimpinan Umno untuk tidak mencabar Najib.

“Dengan kuasanya, Najib mampu mengawal semua pemimpin negeri dibawah Barisan Nasional (BN).

“Namun apa yang pasti, sukar untuk Ahmad Bashah menjadi pengganti yang baik, sebagaimana Datuk Seri Azmin Ali. Namun jika kerajaan persekutuan mampu menyalurkan projek besar kepada Kedah, beliau akan menjadi bintang di Kedah,” katanya.

Pada Mei 2014, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Ahmad Said manakala empat bulan selepas itu, Azmin pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.

Sementara semalam, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akhirnya dilantik sebagai Mentri Besar Kedah menggantikan Mukhriz selepas dua minggu krisis berlarutan.