KUALA LUMPUR, 5 Februari:

“Saya balik rumah emak di Melaka. Cuti panjangkan. Anak-anak suka bila balik kampung. Ada dusun buah,” kata penjawat awam, Rose apabila ditanya apa rancangan untuk cuti Tahun Baru Cina.

Rose bukan merayakan Tahun Baru Cina tetapi memandangkan perayaan itu disambut pada 8 dan 9 Februari ini (Isnin dan Selasa) ditambah dengan hari Sabtu dan Ahad, eloklah katanya menziarah ibu di kampung.

Berlainan pula dengan rakan sepejabat Chiang Hee Tze. Apabila ditanya kenapa masih bekerja sedangkan rakan-rakan semeja yang lain sudah mula bercuti, “Saya orang KL ma,” katanya sambil melangkah menuju ke mejanya.

Chiang berketurunan Hailam dan rumah ibu bapanya terletak di Kepong.

Walaupun ayahnya, anak sulong daripada lapan beradik sudah meninggal dunia tetapi rumahnya masih menjadi tempat berhimpun untuk makan besar Tahun Baru Cina.

“Ibu saya akan masak semua makanan. Hidangan istimewa kami adalah nasi ayam Hailam,” kata Chiang.

Sempat juga Chiang menambah supaya mereka yang balik kampung memandu dengan selamat.

Begitulah musim perayaan di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum.

Tidak kira apa perayaan, semua kaum akan meraikannya. Meraikan di sini lebih kepada mengambil kesempatan bercuti terutama bagi warga kota yang menebal tradisi balik kampungnya.

Mereka yang tidak melakukan sebarang perjalanan jauh pada musim cuti begini pasti berasa lega kerana tidak terperangkap dalam kesesakan di jalan raya.

Ibu kota Kuala Lumpur boleh menjadi begitu aman dan damai pada cuti perayaan yang panjang.

Pasti yang sesak adalah lebuh raya-lebuh raya yang menuju ke utara, selatan atau pantai timur tanah air.

Paling membimbangkan apabila ada sesetengah pemandu yang mungkin kurang memberi perhatian kepada aspek pemanduan yang selamat dan akhirnya terlibat dalam kemalangan maut.

Lazimnya juga bila musim perayaan, polis trafik akan mengadakan Ops Selamat yang maaf cakap, mungkin di negara ini sahaja yang mengadakan operasi yang sedemikian.

Walaupun sudah bertahun-tahun dibuat Ops Selamat ini masih ada juga pemandu yang tidak pandai-pandai lagi memandu dengan selamat.

Antara kesalahan trafik yang sering dilakukan pemandu termasuk memandu melebihi had laju, memotong barisan, memotong di garisan berkembar serta melanggar lampu merah.

Sempena Tahun Baru Cina 2016, polis trafik melancarkan Ops Selamat 8 dari 1 hingga 16 Februari.

Untuk Ops Selamat kali ini, polis trafik mengambil inisiatif menubuhkan pasukan ala ‘Strike Force’ untuk membantu polis kontinjen Negeri Sembilan, Melaka dan Johor memantau kawasan yang kerap berlaku kemalangan.

Kenyataan bahawa tindakan serta merta akan diambil terhadap pesalah trafik diharap akan dapat menjadikan pemandu lebih berhemah sewaktu memandu.

Ops Selamat Tahun Baru Cina 2015 mencatat sebanyak 17,632 kes kemalangan dengan 186 kes kemalangan maut berbanding 14,836 kes untuk tempoh yang sama 2014 dengan 153 kes kemalangan maut.

Kalau dilihat statistik kemalangan, kita akan dapati majoriti yang terbunuh dalam kemalangan maut termasuk di musim perayaan ialah penunggang motosikal!

Kalau diperhatikan perhati cara sesetengah penunggang motosikal mengemudi kenderaan mereka, maka, statistik itu bukan kejutan.