SUNGAI PETANI, 5 Februari:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah lulus dalam ujian pertama selepas mendengar ucapan pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata itu sebagai Menteri Besar (MB) Kedah.

Susulan daripada itu, Najib dalam ucapannya meluluskan permohonan peruntukkan khas oleh Ahmad Bashah untuk membina komplek perniagaan untuk peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja di Sungai Petani.

“Kalau saya tidak jawab permohonan MB baru ini, maka ucapan sulung dia nanti orang kata saya tidak sambut pula. Oleh kerana ini ucapan sulung dia, kalau saya tidak jawab, saya tidak sambut malam ini dia tidak boleh tidur.

“Jadi saya hendak kata saya luluskan peruntukkan RM15 juta ini. Buatlah yang terbaik. Asalkan tujuan kita baik, tolong peniaga-peniaga yang duduk merata tempat, bersepah-sepah, kita kumpulkan dalam satu tempat.

“Maknanya hari ini Kedah dapat dua. Kebetulan UTC (Pusat Transformasi Bandar) RM15 juta, MB minta RM15 juta, dapat RM30 juta. Teristimewa Kedah ini,” katanya ketika melancarkan UTC Sungai Petani di sini.

Ahmad Bashah yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam ucapannya sebelum itu, memohon peruntukan khas sebanyak RM15 juta.

Kata Ahmad Bashah, sewaktu menjawat jawatan itu, Perdana Menteri telah mengarahkan beliau melakukan transformasi terhadap peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja kecil dan beliau telah berjanji untuk melaksanakannya.

“Apabila saya balik ke negeri Kedah, pertama kali masih saya ingat janji-janji apabila berjumpa dengan peniaga dan penjaja kecil, mereka yang berniaga ditepi jalan, mungkin diwarung-warung, kita akan pastikan supaya perniagaan mereka akan berubah.

“Tidak banyak Datuk Seri yang saya hendak minta petang ini kerana saya tahu inilah ucapan saya yang pertama, kunjungan Datuk Seri yang pertama selepas perubahan Menteri Besar.

“Saya mohon lebih kurang RM15 juta untuk kita tempatkan penjaja dan peniaga kecil. Saya percaya dengan peruntukkan ini akan memberi suatu impak sosial dan faedah secara langsung kepada peniaga-peniaga dan penjaja kecil serta penduduk Sungai Petani,” ujarnya.