ALOR SETAR, 4 Februari:

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaakob menegaskan beliau tidak akan melakukan protes sekiranya Menteri Besar (MB) Kedah baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menggugurkan beliau sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Kata Suraya, Ahmad Bashah telah diberi mandat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri dan sebagai Adun, beliau menyokong penuh keputusan itu.

“Beliau sepatutnya mempunyai kebebasan untuk melantik barisan Exco yang akan dipilih nanti dengan nasihat daripada anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan pastinya saya menyokong perlantikan beliau kerana beliau telah diberi mandat yang cukup baik dari Presiden parti dan kepimpinan Umno negeri.

“Sekiranya (saya digugurkan) kehidupan akan tetap diteruskan kerana sebelum ini saya pernah berkhidmat sebagai Adun biasa selama dua penggal. Takkan kita nak buat protes pula,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Anak Bukit di sini.

Ahmad Bashah hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu selapas Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan pada Rabu.

Sementara itu Adun Bandar Baharu, Datin Nor Sabrina Mohd Noor berkata, beliau akan meneruskan tugas-tugas rasmi sebagai Exco sehingga Ahmad Bashah membuat keputusan rasmi berhubung jawatannya itu.

“Untuk jawatan Exco kita kembalikan hak itu kepada MB yang baru yang mana kami sebagai wakil rakyat dan ahli (Exco) sekarang akan terus menjalankan tugas-tugas rasmi kami apa yang telah dirancang selama ini akan diteruskan sehinggalah apa-apa notis atau keputusan yang akan diambil.

“Sekiranya saya digugurkan, saya akan terus berkhidmat kepada rakyat walaupun tidak sebagai Exco tetapi InsyaAllah saya akan terus menyokong kepimpinan Umno, pentadbiran negeri dan pengurusan negeri yang baharu dan insyallah akan terus bekerjasama

“Paling penting kita sentiasa membela rakyat untuk meneruskan perjuangan dan memastian kerajaan adalah Barisan Nasional,” katanya.

Beliau juga bersyukur kemelut politik yang sudah berlanjutan selama dua minggu dapat diselesaikan dengan baik sekaligus tugas-tugas untuk berkhidmat kepada rakyat dapat diteruskan seperti biasa.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Mukhriz yang telah memacu negeri Kedah selama ini dan berharap penggantinya, Ahmad Bashah dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan.

“Kita telah mengalami kemelut yang sangat hebat selama 14 hari dan hari ini merupakan titik noktahnya setelah Datuk Seri Ahmad Bashah sah menjadi MB.

“Jadi saya harap biarlah kemelut itu berlalu dan ini merupakan titik baru untuk kami memulakan tugas kepada rakyat dan meneruskan apa juga perancangan yang telah dirancang di dalam negeri Kedah.

“Yang paling penting adalah berkhidmat kepada rakyat dan bukan mencari kesalahan atau kelemahan orang lain dan InsyaAllah saya berharap saf kepimpinan ini dapat dirapatkan semula dan kita akan meneruskan perjuangan di dalam negeri Kedah ini,” ujarnya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd Johari Baharum yang turut hadir dalam upacara mengangkat sumpah berharap semua pihak terutamanya rakyat melihat ke hadapan untuk memajukan negeri Kedah.

“Kita tengok Kedah ini dari pembangunan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, kita jauh ketinggalan.

“Sesiapa juga yang memikul tanggungjawab sebagai MB adalah tugas yang amat berat. Saya harap Datuk Seri Ahmad Bashah menumpukan seluruh perhatian untuk memajukan negeri ini demi untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.