KLANG, 4 Februari:

Berang dengan tindakan pemandu van yang gagal mengambil anak saudaranya, seorang lelaki nekad membelasah pemandu tersebut hingga maut di tepi Jalan Kampung Sungai Udang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa yang dikenali sebagi Mohd Izharuddin Nordin, 24, maut selepas dibelasah seorang lelaki berusia 29 tahun selepas dikatakan tertinggal anak saudaranya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Azman Abdul Razak berkata suspek dipercayai marah apabila mangsa dikatakan tidak mengambil anak sauadaranya pulang dari sekolah agama.

Menurutnya, suspek mengekori van yang dipandu mangsa sebelum mengarahkannya untuk memberhentikan kenderaan.

“Suspek dipercayai menumbuk mangsa hingga tidak sedarkan diri.

“Kira-kira satu jam selepas kejadian, suspek berjaya ditahan oleh sepasukan anggota polis,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Azman berkata, suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 10 Februari untuk siasatan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat.

Difahamkan, mayat mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.