KUALA LUMPUR, 4 Februari:

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memberi jaminan kepada pencarumnya bahawa pertimbangan pelaburannya adalah sejajar dengan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Bernama melaporkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata KWSP tidak membuat sebarang pelaburan dalam perniagaan yang terlibat dalam aktiviti berkaitan perjudian, hiburan dewasa dan alkohol.

“Kami sentiasa menjadi pelabur beretika dalam erti kata kami tidak melabur dalam sektor-sektor tertentu. Masyarakat akan mengatakan bahawa melabur dalam saham perjudian dan alkohol bukan sesuatu yang mereka benar-benar suka.

“Kami perlu mengambil kira perasaan dan nilai-nilai pemegang kepentingan,” katanya kepada pemberita pada taklimat media, di sini, hari ini.

Mohamad Nasir berkata KWSP juga memastikan syarikat-syarikat yang dilaburnya mengamalkan tanggungjawab sosial korporat yang betul yang mematuhi ESG.

KWSP juga tidak melabur dalam syarikat yang terlibat dalam penggunaan buruh kanak-kanak, diskriminasi jantina dan syarikat yang tidak prihatin kepada alam sekitar.

Sebagai contoh, apabila jerebu menjadi satu isu, KWSP menulis kepada syarikat perladangan yang ia memiliki kepentingan dan meminta jaminan bahawa mereka tidak terlibat atau menyumbang kepada masalah itu.

Mengenai pelaburan dalam syarikat berkaitan bauksit, Mohamad Nasir berkata KWSP yang memiliki 11.8 peratus ekuiti dalan IJM Corp Bhd, mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak yang berkaitan dan ‘kami berpuas hati dengan penjelasan mereka dan memantau dengan rapat perkembangan mereka.

Ini merupakan langkah-langkah yang diambil KWSP untuk memastikan pelaburannya sejajar dengan amalan ESG.

Dilaporkan bahawa kekurangan kawasan simpanan khas bauksit telah menyebabkan simpanan stok yang besar di kawasan Pelabuhan Kuantan yang mencetuskan pencemaran bauksit.

Kuantan Port Consortium Sdn Bhd, yang menguruskan penghantaran bahan galian itu dimiliki 60:40 secara bersama oleh IJM Corporation Bhd dan Beibu Gulf Holding (Hong Kong) Co Ltd.