KUANTAN, 4 Februari:

Sebut sahaja Durian Hijau Beserah, pasti sesiapa sahaja yang  pernah merasainya akan terbayangkan keenakan isi raja buah itu yang ‘kemerahan’ dan lembut, dengan rasanya lemak manis.

Durian Hijau yang dikatakan lebih enak dari Musang King ini telah menjadikan Beserah sebuah daerah yang terkenal di kalangan pengunjung dari luar Pahang.

Namun kini buah yang menjadi kebanggaan daerah itu semakin sukar ditemui dan rasanya berkurang pula. Ini kerana banyak daripada dusun durian terpaksa memberi laluan kepada aktiviti perlombongan bauksit.

Tinjauan Bernama mendapati kemusnahan dusun Durian Hijau dapat disaksikan dari kawasan perumahan Taman Satellite yang terletak kurang satu kilometer dari dusun-dusun itu.

Secara kebetulan penulis bertemu dengan seorang penduduk Taman Satellite Kapten (Bersara) Dailus Yusof, 48, yang bercerita mengenai perlombongan bauksit di dusun yang terletak di hadapan rumahnya.

“Saya fikir tidak sampai setahun hampir separuh kebun digondol. Sebelum ini di hadapan rumah saya (kebun durian Kampung Beserah) begitu redup dan dipenuhi pemandangan hijau pokok durian. Apabila tiba musim durian, kami dapat lihat buahnya yang merimbun di atas pokok,” katanya.

Namun keadaan kini sudah berubah. Bukan sahaja pemandangan nyaman itu hilang malahan Dailus bersama lebih 500 penduduk lain terpaksa berhadapan dengan debu bauksit pada cuaca panas dan bergelumang dengan lecak ‘tanah merah’ apabila hujan turun.

PEKEBUN TERGODA TAWARAN LUMAYAN

Menurut Dailus ramai pekebun yang tergoda dengan tawaran lumayan oleh pelombong bauksit tanpa memikirkan kesan jangka panjang terutama terhdap alam sekitar.

“Kenapa harus kita beri kekayaaan kepada orang luar sedangkan kawasan kita ‘miskin’ alam sekitar,” kata Dailus sambil mengaitkan kesan tindakan pelombong bauskit yang bukan sahaja terhad ke Beserah tetapi merebak hingga ke Pantai Balok.

Dailus berpendapat mereka tidak patut menggadaikan masa depan alam sekitar semata-mata ingin untung cepat.

Pemilik kebun durian di Kampung Beserah yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ajis, 62, mengakui apa yang diperkatakan oleh Dailus ada kebenarannya.

“Saya mengaku menerima wang yang lumayan hasil pajakan dusun saya,” kata Pak Ajis.

TANAH DICEROBOH PAKSA PEKEBUN AKUR

Pada mulanya, Pak Ajis tidak berniat untuk memajakkan tanahnya yang seluas hampir satu hektar itu namun setelah tanahnya diceroboh oleh seorang pelombong yang tidak bertanggungjawab pada akhir 2014, Pak Ajis terpaksa akur dan mengikut jejak langkah 30 pekebun dusun Beserah yang lain dengan memajakkan tanahnya.

“Kerana malas memanjangkan cerita dan turun naik mahkamah, saya hanya buat tuntutan pencerobohan sebanyak RM5,000 kepada pengusaha bijih bauksit yang menceroboh itu. Selepas itu, memandangkan habis pokok-pokok ditebang saya terpaksa memajak tanah itu kepada pengusaha lombong yang lain yang menawarkan harga lebih tinggi.

“Daripada terbiar dan tidak dapat berbuat apa-apa lebih baik saya pajakkan,” katanya.

Pak Ajis berkata beliau masih memiliki kebun lain seluas 1.2 hektar di kawasan sama namun nekad tidak akan memajakkan kebun itu walaupun ditawar harga yang tinggi.

“Kini saya menyedari apa yang saya lakukan sebelum ini tidak betul. Sepatutnya saya perlu mempertahankan kebun saya daripada diperdaya oleh pelombong bijih bauksit,” katanya.

Pak Ajis, yang telah 26 tahun mengusahakan kebun durian berkata hasil buah durian dan buah-buahan lain seperti dokong tidak lagi ‘masak elok’ seperti dahulu.

“Hal ini kerana penggondolan kebun menyebabkan suhu meningkat yang merencatkan pertumbuhan buah-buahan. Durian ini apabila mula berbunga, ia memerlukan cuaca yang redup dan sejuk supaya buahnya akan masak elok. Kini selepas tanah digondol, buah dari kebun yang tinggal ini sedikit kecut dan rasanya tidak lagi seperti dahulu,” katanya.

PERLOMBONGAN BAUKSIT DIBANTAH PENDUDUK BESERAH

Inilah kesan perlombongan bauksit yang jelas tidak disokong bukan sahaja oleh penduduk setempat Beserah tetapi juga rakyat di negara ini.

Seorang lagi penduduk Kampung Beserah Muhammad Ismail berkata berbanding tahun-tahun sebelum ini, musim buah pada 2015 menyaksikan penjualan buah durian hijau di sepanjang Jalan Beserah tidak lagi meriah seperti sebelum dusun Beserah dijajah oleh pelombong bauksit.

“Pada musim buah tahun lepas, memang Durian Hijau dah kurang sebab kebun-kebun habis ditarah. Para peniaga terpaksa ambil durian dari luar seperti Johor untuk dijual. Tapi apa gunanya orang datang ke sini untuk beli Durian Hijau Beserah sebaliknya durian dari luar yang mereka dapat.

“Saya tahu memang rezeki mereka (pekebun) tiba-tiba mendapat wang yang lumayan, namun kita harus fikir Durian Hijau yang menjadi kebanggaan orang Beserah selama ini,” katanya.

Justeru peristiwa malang di Beserah itu seharusnya menjadi iktibar kepada penduduk di daerah lain di negara ini supaya berfikir panjang sebelum melepaskan tanah pusaka mereka kepada pelombong bermata duitan yang mengabaikan  kepentingan bersama khususnya alam sekitar.