KUALA LUMPUR, 4 Februari:

Para saintis dan pencinta alam sekitar bimbang dengan kesan jangka panjang persekitaran, ekosistem serta ekonomi Kuantan akibat kemusnahan berpunca daripada kegiatan perlombonganĀ  bauksit yang tidak dikawal.

Pencinta alam sekitar Faisal Parish dari Global Environmental Centre (GEC) berkongsi pandangan dengan Bernama betapa perlombongan bauksit menyebabkan kerosakan teruk kepada alam sekitar.

Beliau turut menegaskan bahawa proses untuk memulihkan semula ekosistem akan mengambil masa.

“Kita perlu lihat apa yang akan berlaku selepas tempoh penggantungan aktiviti perlombongan bauksit berakhir. Lagipun kerosakan sudah berlaku.

“Pelombong bauksit telah mengabaikan prosedur keselamatan dan sikap rakus mereka telah mencemar alam sekitar serta merosakkan ekosistem,” katanya.

Menurut Faisal kehidupan marin juga akan terus terancam.

“Risiko adalah besar untuk kehidupan marin. Ada dua unsur, pertama unsur kandungan elemen peringkat tinggi sudah tentu mempunyai kesan negatif dan kedua, kandungan logam berat serta kimia toksik daripada perlombongan bauksit telah temui dalam air.

“Keadaan ini sudah tentunya menjejaskan mata pencarian nelayan di kawasan yang terlibat kerana ikan dicemari dengan kimia akibat perlombongan bauksit,” katanya.

Faisal kesal dengan perbuatan pelombong-pelombong bauksit itu dan menegaskan sikap mereka yang mementingkan diri sendiri telah merosakkan persekitaran Kuantan dan menjejaskan periuk nasi penduduk tempatan.

Faisal menggesa pelombong supaya mengaku bertanggungjawab di atas kerosakan yang berlaku akibat kegiatan perlombongan mereka dengan memberi ganti rugi kepada yang terjejas.

Beliau juga menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap syarikat perlombongan, terutamanya pelombong haram.

PERLOMBONGAN BAUKSIT JEJAS KEHIDUPAN MARIN

Sementara itu, ahli biologi marin, N.Gopinath apabila dihubungi Bernama berkata kesan jangka panjang perlombongan bauksit di Pahang berkait dengan kemusnahan atau kerosakan habitat, rantaian makanan marin serta kematian secara langsung atau tidak langsung ikan serta organisma akuatik.

“Kesan endapan bergantung kepada banyak faktor. Banyak organisma marin bergantung kepada hidupan endapan ini. Apa yang berlaku akan menjejaskan kepelbagaian serta kuantititi ikan dan organisma lain yang secara tradisinya ditemui di kawasan yang terjejas,” katanya.

Gopinath bagaimanapun berkata kehadiran aluminum, raksa serta bahan toksik kimia yang serupa akan mempunyai kesan jangka panjang yang lebih ke atas kepelbagaian biologi, bertahun-tahun atau mungkin berdekad lamanya.

Beliau menambah bukan sahaja bauksit berpotensi toksik tetapi galian lain yang telah mengalir ke dalam laut dan sungai di Kuantan.

“Ia bergantung kepada kepadatan bahan toksik galian dalam air atau endapan, organisma yang terlibat serta jangka masa dan kaedah pendedahan.

“Menerusi proses yang dipanggil magnifikasi biologi (biological magnification), organisma pada peringkat tinggi rantaian makanan mengumpul bahan toksik galian daripada organisma lain di peringkat rendah rantaian itu. Ini boleh menyebabkan kesan mutagen atau karsinogen kronik, ” tambahnya.

Beliau menambah, perhatian juga perlu diberi kepada kemungkinan pencemaran akibat perlombongan bauksit yang boleh mengancam kesihatan manusia.

PENGGANTUNGAN TAK CUKUP UNTUK TANGANI KEROSAKAN

Mengulas tentang penggantungan kegiatan perlombongan bauksit, Gopinath berkata langkah itu telah mengurangkan kegiatan perlombongan tetapi tidak kepada aliran air tercemar daripada timbunan stok bauksit.

Perlu disebut di sini bahawa penggantungan kegiatan perlombongan itu hanya bersifat sementara.

“Bagi saya, pihak berkuasa seakan tidak menganggap apa yang berlaku ini bencana besar alam sekitar.

“Kerosakan meluas telah pun berlaku dan sesuatu perlu dilakukan untuk memperbaiki kerosakan sebelum kita bercakap tentang kegiatan perlombongan bauksit ini disambung semula,” kata ahli biologi marin itu.

KOLAM ENDAPAN PERANGKAP SISA PEPEJAL

Sementara itu, pensyarah Fakukti Kajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Dr Faradeilla Mohd Kusin berkata kolam endapan dibina berhampiran Sungai Pengorak di mana bauksit telah mencemari air sungai yang mengalir terus ke laut.

Kolam endapan itu juga terletak berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan di mana bauksit disimpan sebelum dieksport ke China.

“Kolam itu dibina khas untuk memerangkap sisa pepejal terampai daripada kegiatan perlombongan bauksit. Ini dibuat untuk menguji paras pH air untuk melihat kandungan pencemaran asid dalam air.

“Bagaimanapun, pembinaan kolam itu tidak mencukupi untuk menentukan paras pencemaran. Beberapa buah kolam lain perlu dibina dan yang terbaik adalah untuk mempunyai sistem rawatan air yang sesuai,” kata Dr Faradeilla.

Beliau berkata, pH air perlu dineutralkan dan barulah air boleh dilepaskan ke dalam Sungai Pengorak supaya paras pH air boleh dikawal.

Dr Faradeilla adalah sebahagian daripada pasukan yang berada di Kuantan untuk membuat ujian kesan toksik terhadap air akibat perlombongan bauksit.

PEMULIHARAAN KELAPA SAWIT

Mengenai kesan ekonomi, pakar kelapa sawit yang tidak mahu namanya disebut berkata proses pemulihan kelapa sawit di Felda Bukit Goh, Bukit Sago dan Bukit Kuantan akan memakan masa bertahun-tahun.

Menurut pakar itu; “Sekiranya kawasan itu terjejas akibat bauksit, tanahnya sudah pasti dicemari dan dengan demikian proses pertumbuhan semula akan mengambil masa yang panjang sebelum berhasil.

“Bila anda lihat pokok, ia nampak sihat tetapi sebenarnya tanah sudah rosak kerana toksik yang terdapat dalam bauksit,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata bergantung kepada kajian, penanaman serta pertumbuhan pokok boleh mengambil masa dua hingga tiga tahun dan untuk pokok itu berbuah pula akan memakan masa beberapa tahun lagi.

Jelas beliau lagi, tanah yang sihat amat penting untuk mengekalkan pertumbuhan tanaman.

Pokok kelapa sawit boleh mengeluarkan hasil sehingga 30 tahun tetapi akan mula mati masuk tahun ke-25.